Cuti Sekolah Datang Lagi, Apa Kata Anda Cuba 6 Aktiviti 'Family Bonding' Ini?

Family & Parenting
27 Aug 2023 • 10:12 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
SplashMania Water Park Gamuda Cove antara destinasi family bonding yang sesuai dituju bersama keluarga - gambar SplashMania Water Park Gamuda Cove

Cuti sekolah kini tiba lagi! Inilah masanya untuk meluangkan masa berkualiti bersama orang tersayang. Di tengah-tengah kesibukan rutin harian, satu perkara yang tidak boleh diabaikan ialah  family bonding untuk mengukuhkan ikatan kasih sayang sesama ahli keluarga.

Untuk mengukuhkan kasih sayang ini, ia tidak semestinya melibatkan penghargaan yang megah dan mewah, sebaliknya ikutlah kemampuan, asalkan semua ahli keluarga turut serta. Kadangkala mengambil bahagian dalam aktiviti yang sesuai juga dapat mewujudkan gelak tawa dan mencipta kenangan yang akan kekal seumur hidup. 

image is not available
Antara tarikan di Taman Tema Genting Highland untuk anda cuba bersama keluarga - gambar Resort World Genting

Sebagai ibu bapa yang sibuk dengan pekerjaan harian, kerja-kerja di rumah dan rentak kehidupan yang bergerak laju, ramai yang bergelut untuk mendapatkan work life balance. Dek itulah, ramai yang mudah hilang jejak masa dan terlepas peluang berharga untuk benar-benar berhubung dengan orang-orang tersayang.

Bagaimanapun, ketahuilah bahawa anda tidak bersendirian dalam hal ini! Kadangkala kehidupan boleh menjadi sedikit huru-hara. Asalkan anda berusaha untuk memperbetulkan keadaan, Insya Allah semuanya akan baik-baik sahaja.

Di sini kami sarankan 6 aktiviti untuk family bonding yang pastinya menjanjikan keseronokan dan mengeratkan silaturrahim. 

1) Genting Skyworlds Outdoor Theme Park, Genting Highlands, Pahang

Foto : Resort World Genting

Road trip bersama keluarga? Macam seronok! Bayangkan diri anda menikmati pemandangan yang indah, berhenti berehat untuk menjamu selera di kawasan rehat dan rawat, dan mendengar lagu-lagu yang menjadi siulan ramai. 

Ada lagi ke aktiviti yang lebih menarik daripada ini? Jom rancang percutian pantas ke Genting Highlands dan luangkan masa anda sepanjang hari dengan keseronokan di taman tema luar yang menjanjikan seribu keseronokan.

image is not available
Invasion Planet of The Apes - gambar Resort World Genting

Jangan lupa untuk mencuba tunggangan yang paling menarik - iaitu Invasion Planet of the Apes, tunggangan dalaman 3D yang mengagumkan serta tunggangan Independence Day: Defiance yang membawa anda terbang ke angkasa lepas. 

Apabila  perut terasa lapar, boleh berhenti seketika untuk menjamu selera. Boleh dapatkan hotdog super-duper long mereka yang terkenal. Inilah masanya untuk anda berkongsi selera dengan anak-anak. 

Untuk semua yang gemar makanan yang manis, jangan lupa untuk cuba churros mereka yang rangup dan ditabur dengan gula kayu manis. Bayangkan menjamu keluarga anda dengan keseronokan ini, ditemani bersama udara sejuk pegunungan Genting Highlands, coklat panas dan churros yang menyelerakan. Sedap betul! 

2) Art & Bonding, Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur

Foto : Art & Bonding, Desa Sri Hartamas

Tahukah anda bahawa ikatan bersama keluarga boleh dibentuk melalui hasil seni? Singgahlah ke Art & Bonding, di mana anda boleh sertai Family Canvas Collage yang menyeronokkan! 

Kumpulkan sehingga lapan ahli keluarga dan sama-sama mencipta karya keluarga anda sendiri, yang pastinya akan menjadi kenangan yang manis sepanjang aktiviti tersebut!

image is not available

Hasil karya keluarga anda boleh menjadi apa sahaja yang anda bayangkan, sama ada ia ciptaan langsung dari hati, pemandangan landskap yang cantik, atau apa-apa sahaja yang membuatkan hati anda tersenyum. 

Bagaimanapun, jika anda ingin mengutip pengalaman melukis yang lebih menyeronokkan, daftarlah untuk Neon Paint Party, di mana Art & Bonding akan menghidupkan muzik dan anda boleh melukis di dalam gelap menggunakan cat neon pendaflour! Kemudian boleh bawa pulang hasil karya tersebut. 

3) Hulu Langat Fishing Resort, Selangor

Foto : Hulu Langat Fishing Resort

Kunjungi Hulu Langat Fishing Resort untuk menikmati hari memancing bersama keluarga! Jangan risau, mereka mempunyai semua barangan yang anda perlukan untuk keselesaan. Jangan lupa pakai pelindung matahari dan topi untuk melindungi diri daripada selaran matahari. 

Untuk sebuah percutian yang lebih memuaskan, carilah bilik di mana-mana resort, chalet atau tapak sewaan khemah di kawasan sekitar. Hulu Langat menawarkan pelbagai jenis penginapan sempurna serta tidak membebankan poket.

image is not available

Pelbagai jenis ikan seperti mekong giant catfish, tilapia, patin, lampam dan banyak lagi. Jika anda murah rezeki, boleh bawa pulang hasil tangkapan untuk ‘kenduri’ di rumah atau bakar terus di ruangan BBQ yang tersedia. 

Tetapi ingat! tidak semua ikan yang ditangkap boleh dibawa balik kerana tempat ini dikenali dengan polisi tangkap dan lepas. 

4) SplashMania Water Park Gamuda Cove, Selangor

Foto : SplashMania Water Park Gamuda Cove

Tiada masa untuk berasa bosan di sini. Taman tema yang menjadi bualan ramai ini menawarkan 24 jenis gelongsor air dan 15 tarikan air yang yang sesuai untuk semua peringkat umur! Ada yang boleh naik berdua, ada yang tidak memerlukan pelampung, ada yang ekstrem dan mencabar, dan yang paling penting, ada juga untuk kanak-kanak!

image is not available

Antara yang popular dan menjadi tumpuan pengunjung ialah wave pools kepada lazy rivers. Jangan sesekali lepaskan peluang untuk mencuba sensasi terbaru mereka, Slide Monsta yang menentang graviti. Tarikan yang satu ini memberi peluang untuk anda merasakan ledakan adrenalin luar biasa.

Sama jugalah dengan Sumaumeira Drop, tarikan kegemaran peminat ekstrem ini akan menjatuhkan pengunjung ke dalam gelongsong air dari tempat yang tinggi. 

Untuk menjamu selera, anda tidak perlu bimbang kerana ia sama seperti taman hiburan yang lain. Ada banyak restoran dan kafe di dalam kawasan tema ini. Senang cerita, SplashMania adalah tempat sempurna untuk keluarga yang gemarkan keseronokan tanpa batasan. 

5) Chocolate Lab, Chocolate Museum, Kota Damansara 

Foto : Chocolate Museum 

Selain lawatan percuma di muzium coklat, tarikan di Petaling Jaya ini turut menawarkan bengkel penyediaan coklat menggunakan kemudahan yang berkualiti serta diajar oleh pakar pembuat coklat. 

Anda boleh memilih antara dua kursus iaitu Junior Chocolatier (RM39) atau Advance Chocolatier (RM54) yang memberi peluang kepada anak-anak untuk mempelajari cara-cara membuat coklat daripada biji koko. 

Bagaimanapun, untuk membolehkan anak-anak turut serta, anda perlu buat tempahan bersama rakan-rakan mereka kerana setiap tempahan memerlukan peserta sekurang-kurangnya 20 orang untuk satu sesi. 

Mungkin anda boleh berbincang dengan kenalan dan ibu bapa yang lain untuk tujuan ini. Setiap peserta yang mengikuti bengkel ini juga berpeluang melakukan lawatan ke Chocolate Museum secara percuma. Tempahan dan pertanyaan lanjut boleh dibuat di sini, https://chocolatemuseum.my/chocolate-lab/ 

6) Don Hu Jurassic Park, Muar, Johor

Foto : Don Hu Jurassic Park

Muar yang terkenal dengan mi bandung ini juga mempunyai tarikan untuk kanak-kanak yang tidak kalah keseronokannya. Taman yang diusahakan secara persendirian ini mengumpulkan pelbagai spesies dinosaur yang kelihatan ‘real’ yang sudah pastinya menarik minat kanak-kanak untuk meneroka. 

Selain boleh melihat dinosaur, ada banyak lagi tarikan permainan yang menanti. Ada juga ruang pameran dan kedai-kedai menjual cenderamata. 

image is not available

Harga tiket juga tidaklah terlalu membebankan.  Hanya RM10 untuk satu permainan, RM50 untuk 6 enam permainan dan RM100 untuk bermain untuk kesemua mainan yang berjumlah 14. Waktu operasi bermula jam 10.00 pagi hingga 6.45 petang pada setiap Khamis, Jumaat, Sabtu, Ahad dan hari kelepasan am.

Selamat bercuti dan berseronok! - Getaran, 27 Ogos 2023