
PUTRAJAYA: Wanita Umno akan membangunkan sistem maklumat profil, prestasi dan kelayakan iaitu ‘CV Bank Wanita’ untuk dijadikan rujukan pucuk pimpinan dalam pemilihan calon, kata Ketuanya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (gambar).
Noraini yang merupakan Ahli Parlimen Parit Sulong berkata sistem itu akan menjadi rujukan kepada pucuk pimpinan dalam memilih kriteria tertentu bagi pemilihan calon wanita sama ada di peringkat Parlimen, Dewan Undangan Negeri atau Ahli Dewan Negara.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata perkara itu merupakan antara resolusi simposium Women Re-Energize Leadership Development (WoRLD) bertemakan Mengarus Perdana Kepimpinan Wanita yang diadakan pada 23 hingga 25 Sept lepas.
Noraini berkata satu resolusi telah dihasilkan antaranya mahu penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan dalam politik ditingkatkan sekurang-kurangnya 30 peratus, melibatkan semua lapisan kepimpinan parti, sayap Puteri Umno dan komponen parti Barisan Nasional.
Beliau berkata Akademi Kepimpinan Wanita akan ditubuhkan berlandaskan modul yang profesional dan menepati keperluan semasa rakyat serta negara.
“Ini bagi memastikan kesinambungan mencungkil potensi dan bakat wanita kompeten dan berkualiti untuk diketengahkan sebagai calon wakil rakyat, anggota pembuat dasar, peneraju GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan),” katanya.
Noraini berkata papan pemuka akan turut dibangunkan bagi mengurus keperluan pembangunan dan pendidikan pimpinan wanita yang lebih profesional meliputi pelbagai kaum dan peringkat umur.
Noraini berkata Wanita Umno menyambut baik keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno pada 30 Sept lepas yang bersetuju untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mesyuarat MT Umno itu dilaporkan membuat ketetapan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan pada tahun ini, dan susulan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong.-Bernama
