Lebih 2,000 mangsa banjir dipindahkan di seluruh negara

29 Oct 2019 • 11:32 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

PUTRAJAYA - Bilangan mangsa banjir di seluruh negara terus meningkat dengan 2,371 orang daripada 657 keluarga dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS), berbanding 1,971 mangsa daripada 576 keluarga pada 8 malam semalam.

Menurut laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Perlis menjadi negeri keenam dilanda banjir dengan sebuah PPS dibuka di Padang Besar bagi menempatkan 81 mangsa daripada 19 keluarga.

Di Kuala Selangor, Selangor, seramai 858 mangsa daripada 276 keluarga masih ditempatkan di empat PPS di daerah itu manakala di Perak, banjir di empat daerah iaitu Batang Padang, Hilir Perak, Kerian dan Manjung menyebabkan 619 mangsa daripada 155 keluarga dipindahkan ke tujuh PPS.

Di Johor pula, seramai 524 mangsa daripada 129 keluarga ditempatkan di 10 PPS, masing-masing lima di Kluang, dua di Kulaijaya, dua di Pontian dan satu di Batu Pahat.

Di Kedah, seramai 206 mangsa daripada 56 keluarga ditempatkan di tiga PPS di daerah Kulim, Kubang Pasu dan Pendang, manakala di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang seramai 83 mangsa daripada 22 keluarga dipindahkan ke tiga PPS. - Bernama


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved