Tahun 2026 memperlihatkan peningkatan harga jualan komponen memori kerana kebanyakan kapasiti pengeluaran yang sebelum ini digunakan untuk menghasilkan komponen pengguna sudah digunakan untuk menghasilkan komponen memori untuk industri pusat data dan kecerdasan buatan.
Nama ChangXin Memory Technologies ataupun CXMT dilihat semakin meningkat pada tahun ini kerana mereka dilihat sebagai pencabar terbesar oligopoli tiga syarikat pengeluar memori terbesar di dunia, termasuklah SK Hynix, Samsung dan juga Micron.
Baru-baru ini, terdapat laporan bahawa jenama-jenama pengeluar komputer seperti Apple, Lenovo dan sebagainya telahpun mula menguji dan menggunakan komponen-komponen memori yang dihasilkan oleh CXMT untuk mengurangkan kos pembelian komponen memori untuk peranti-peranti yang dihasilkan.

Citrini Research, sebuah syarikat penganalisa pasaran baru-baru ini melaporkan bahawa CXMT dijangka akan menghasilkan sebanyak 350 ribu wafer setiap bulan menjelang penghujung tahun ini, hampir menandingi output pengeluaran wafer yang dihasilkan oleh Micron, iaitu sebanyak 375 ribu wafer setiap bulan. SK Hynix dan Samsung pula dilihat sebagai pencabar yang sukar disaingi dngan output setinggi 600-700 ribu wafer setiap bulan.
CXMT sudahpun mula menghasilkan banyak jenis wafer memori, termasuklah 16Gb dengan kelajuan penghantaran data 8000MT/s, 24Gb dengan kelajuan 6000MT/s, dan juga memori 12Gb dan 16Gb dengan kelajuan 10,000 MT/s untuk kegunaan pusat-pusat data.
Menariknya, CXMT dapat menghasilkan jumlah memori yang banyak ini tanpa menggunakan teknologi litografi EUV yang terbaru, tetapi cukup sekadar mengoptimasikan proses DUV sedia ada mereka. Kerajaan China juga telah meminta CXMT untuk berkongsi pengetahuan teknologi mereka dengan syarikat-syarikat lain supaya pengeluaran memori dari China boleh ditambahkan lagi secara mendadak.
Sumber: Citrini Research


