Cypark catat kerugian RM15.54 juta pada 2QFY2026

Business & FinanceEnvironment
17 Dec 2025 • 9:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cypark catat kerugian RM15.54 juta pada 2QFY2026
image is not available
liza17/12/2025 - 09:20 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Dis – Cypark Resources Bhd mencatatkan kerugian bersih RM15.54 juta pada suku kedua berakhir 31 Oktober 2025 (2QFY2026), berbanding keuntungan bersih RM2.28 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan yang terlibat dalam tenaga boleh diperbaharui itu berkata, kerugian itu disebabkan penurunan sumbangan dari segmen pembinaan selepas siapnya beberapa projek utama.

 

“Hasil pada suku tersebut ialah RM46.19 juta, susut sedikit berbanding RM49.15 juta pada suku sama tahun kewangan sebelumnya.

 

“Cypark mencatatkan kerugian sebelum cukai RM14.87 juta pada 2QFY2026 berbanding keuntungan sebelum cukai RM16.10 juta pada 2QFY2025. 

 

“Prestasi tahun lalu adalah lebih baik kerana disokong oleh pembalikan peruntukan sekali sahaja bernilai RM30.1 juta, yang tidak berlaku pada suku semasa,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Tiada dividen interim diisytiharkan bagi suku tersebut.

 

Menurut Cypark, penurunan hasil suku semasa berpunca daripada sumbangan yang lebih rendah daripada aktiviti pembinaan, sejajar dengan siapnya projek Hospital Rawang yang menyumbang ketara pada tahun kewangan lalu.

 

Bagaimanapun, kesan tersebut sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan jualan elektrik dan pendapatan yuran pelupusan daripada segmen sisa ke tenaga (waste-to-energy, WtE), selain pengiktirafan hasil yang stabil daripada aset solar sedia ada.

 

Bagi enam bulan pertama berakhir 31 Oktober 2025 (1HFY2026), Cypark merekodkan kerugian bersih RM33.47 juta, lebih dua kali ganda berbanding RM15.79 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Hasil bagi tempoh enam bulan turut susut 11% kepada RM87.85 juta berbanding RM98.97 juta.

 

Dari segi segmen, perniagaan tenaga boleh diperbaharui mencatatkan hasil lebih tinggi kepada RM29.1 juta pada suku kedua, disokong oleh sumbangan O&M daripada projek solar berskala besar di Kelantan serta jualan tenaga daripada loji biogas POME 1.55 megawatt di Kampungg Gajah, Perak. 

 

Segmen ini merekodkan kerugian sebelum cukai RM1.0 juta, berbanding keuntungan RM23.9 juta pada suku sama tahun lalu yang dipacu item luar biasa.

 

Segmen kejuruteraan mampan dan infrastruktur pula mencatatkan penurunan hasil ketara susulan siapnya projek Hospital Rawang, dengan sumbangan suku semasa disokong terutamanya oleh projek Net Energy Metering (NEM). 

 

Cypark turut memaklumkan bahawa pembinaan sistem solar fotovoltaik di kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah dimulakan, melibatkan reka bentuk, pembiayaan, pembinaan dan penyelenggaraan di bawah perjanjian jangka panjang.

 

Bagi segmen sisa kitaran dan sisa ke tenaga, hasil meningkat kepada RM17.1 juta pada suku kedua berbanding RM14.3 juta sebelum ini, didorong oleh peningkatan jualan elektrik dan yuran pelupusan. 

 

Segmen ini mencatatkan kerugian sebelum cukai RM13.7 juta berbanding RM8.4 juta pada suku sama tahun lalu, mencerminkan operasi yang kembali normal selepas tempoh gangguan akibat insiden kebakaran pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Dari segi kedudukan kewangan, jumlah aset kumpulan berjumlah RM2.90 bilion setakat 31 Oktober 2025, manakala liabiliti keseluruhan berjumlah RM1.73 bilion.

 

Tunai dan baki bank kumpulan meningkat kepada RM178.28 juta, manakala pinjaman dan pembiayaan jangka pendek menurun kepada RM262.44 juta.

 

Melangkah ke hadapan, Cypark menyatakan keterlihatan pendapatan kumpulan semakin bertambah susulan penganugerahan projek solar berskala besar LSS5+ serta kemajuan projek pengembangan SMART WtE Fasa 2 yang kini berada di peringkat kelulusan akhir. 

 

Kumpulan kini mengendalikan hampir 400 megawatt-peak kapasiti tenaga boleh diperbaharui merangkumi solar, WtE dan biogas.

 

Cypark turut memaklumkan bahawa buku tendernya berjumlah RM3.5 bilion meliputi kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek solar berskala besar, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), kemudahan WtE dan peluang infrastruktur lain, dengan potensi penukaran kontrak sekitar RM2.2 bilion dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang. - DagangNews.com

Terkini standard