Polis buru lelaki sembur cat hitam di gereja

6 Dec 2019 • 12:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

BUKIT MERTAJAM - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang melakukan khianat dengan menyembur cat hitam ke beberapa buah patung dan lantai di Gereja St Anne di Jalan Kulim, di sini dalam kejadian kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, polis telah meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat dalam gereja itu dan berjaya mengenal pasti lelaki berkenaan dipercayai berusia 40-an.

"Usaha mengesan lelaki dipercayai penduduk tempatan itu giat dijalankan dan berdasarkan rakaman CCTV yang terdapat dalam gereja itu, polis percaya suspek mempunyai masalah mental berdasarkan kelakuannya yang marahkan patung-patung yang terdapat dalam rumah ibadat tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, seorang pekerja di situ memaklumkan kepada pengurus keselamatan di gereja berkenaan berhubung tindakan seorang lelaki yang menyembur cat hitam ke atas patung dan lantai di bahagian dalam serta luar rumah ibadat tersebut.

Menurutnya, pengurus keselamatan itu terus ke tempat lelaki yang menyembur cat dan bertanya alasan dia berbuat demikian sebelum suspek memarahi pekerja serta pengurus keselamatan berkenaan.

Nik Ros Azhan berkata, suspek kemudiannya meminta pen daripada pengurus keselamatan itu sebelum dia menulis sesuatu di atas sekeping kertas yang dibawanya dan menyerahkan kepada lelaki tersebut.

"Suspek kemudiannya terus beredar dari gereja itu dengan menaiki sebuah motosikal yang diletakkan di pekarangan rumah ibadat itu," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan awal daripada pekerja dan pengurus keselamatan itu, mereka tidak mengenali lelaki berkenaan, malah dia juga dipercayai tidak pernah datang ke rumah ibadat itu sebelum ini.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved