Tak sempat cabut lari!

30 Jan 2020 • 2:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

GEORGETOWN - Cubaan 18 wanita warga asing yang bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) melarikan diri melalui laluan rahsia tidak berjaya apabila mereka ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Burmah di sini malam tadi.

Dalam serbuan jam 12.15 malam itu, kumpulan GRO terbabit dikatakan sedang leka berhibur dengan pasangan masing-masing sebelum melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang, Muhamad Husni Mahmud berkata, serbuan dibuat hasil risikan sejak beberapa minggu lalu mengenai aktiviti tidak bermoral dilakukan kumpulan wanita warga asing berkenaan.

“Kedudukan pusat hiburan berkenaan yang terletak di tingkat empat menyebabkan mereka (GRO) mendapat isyarat awal daripada tonto mengenai serbuan berkenaan, namun tindakan pantas anggota kita berjaya menahan mereka yang cuba melarikan diri melalui laluan rahsia.

"Mereka yang ditahan terdiri 16 wanita warga Thailand dan dua warga Laos yang masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Muhamad Husni berkata, semua yang ditahan berusia antara 21 hingga 35 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Pulau Pinang di Seberang Jaya untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke depoh tahanan warga asing di Juru untuk tindakan lanjut,

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved