
Kota Kinabalu: Empat belas individu dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Majistret di sini, Selasa, kerana melakukan kesalahan berkaitan dadah.
Sepuluh daripada mereka mengaku bersalah mengambil dadah, manakala empat lagi mengaku memiliki syabu.
10 tertuduh ialah Aloysius Dony, Nurshuhada, Sidik Isnain, Alwin Bading, Husin Dulah, Conrad, Ridwan Sah, Sair Gapar, Said Alsafri dan George Cylde.
Mereka ditahan di lokasi berasingan di sini dan di Penampang antara 8 Ogos dan 12 Sept tahun ini selepas didapati positif dadah jenis syabu dan amfetamin.
Aloysius, Sidik, Conrad dan George masing-masing didenda RM2,000 atau penjara antara lima dan enam bulan.
Alwin, Husin, Ridwan, Sair dan Said dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan manakala Nurshuhada dipenjara empat bulan.
Mengambil dadah mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, empat lagi tertuduh – Ferdinand Masnih, Renee Sampang, Ejamri Remos dan Rosmandi Suman mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki syabu masing-masing seberat 0.06 gram, 0.92 gram, 1.59 gram dan 0.07 gram antara 30 Julai dan 18 Sept tahun ini.
Ejamri dijatuhi hukuman penjara 15 bulan, Renee dijatuhkan penjara 12 bulan manakala Ferdinand dan Rosmandi masing-masing dipenjara sembilan bulan.
Mereka berempat didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Inspektor Albert Basiri di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
