Dadah 'zombi' sudah mula menyerang

LocalHealth & Fitness
2 Jun 2026 • 7:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dadah 'zombi' sudah mula menyerang
Furanyl fentanyl merupakan opioid sintetik yang sangat berbahaya dan dianggarkan 50 hingga 100 kali lebih kuat daripada morfin. Foto hiasan

SANGAT menakutkan apabila dadah furanyl fentanyl atau dadah 'zombi' dikesan berada dalam negara.

Lebih menakutkan apabila pendedahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa sindiket menggunakan cara pengedaran dengan mencampurkan dadah 'zombi' ini ke dalam cecair rokok elektronik (vape) pelbagai perisa sebelum dipasarkan kepada pengguna.

Furanyl fentanyl merupakan opioid sintetik yang sangat berbahaya dan dianggarkan 50 hingga 100 kali lebih kuat daripada morfin.

Walaupun diambil dalam dos yang sangat kecil ianya boleh menyebabkan overdose dan seterusnya kematian mengejut.

Sudah pasti golongan remaja dan mereka yang masih bersekolah berisiko menjadi 'mangsa' dadah 'zombi' ini atas pelbagai faktor, mungkin sebab hendak mencuba dan pengaruh rakan.

Berdasarkan laporan media akhir ini, banyak kes rampasan dadah dengan campuran perisa yang digunakan dalam vape.

Memetik kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, beliau mendedahkan cara pengedaran dengan mencampurkan ke dalam cecair vape digunakan bagi menyembunyikan kandungan sebenar dadah daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

Katanya, campuran ini juga menarik minat pengguna melalui penggunaan pelbagai jenis perisa dan pembungkusan menyerupai produk vape komersial.

Antara kesan pengambilannya ialah tidak sedarkan diri, pernafasan menjadi perlahan, kekeliruan minda, ketagihan melampau serta gangguan fungsi otak dan sistem saraf.

Dalam kes tertentu, pengguna boleh menjadi lemah, tidak stabil, hilang kawalan diri dan kelihatan seperti 'zombi' akibat kesan sedatif yang sangat kuat.

Di sini usaha membanteras dadah wajib digempur habis-habisan tanpa kompromi.

Apa sahaja dadah menjadi musuh yang memusnahkan masyarakat serta institusi keluarga.

Berdasarkan laporan berita sebelum ini, lebih menyedihkan, anak kecil terpaksa menjadi mangsa apabila ibu bapa ketagihan barang terlarang itu.

Justeru, semua pihak perlu ambil tanggungjawab bendung habis-habisan termasuklah sumber kemasukan, medium online mahu pun penjualan secara 'rahsia'.