Daging lembu turun kepada RM35.88 sekilogram, ayam standard tak berubah

LocalBusiness & Finance
12 May 2026 • 4:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Daging lembu turun kepada RM35.88 sekilogram, ayam standard tak berubah
Harga daging lembu menurun 1.4 peratus daripada RM36.40 kepada RM35.88 sekilogram, manakala ayam standard hampir tidak berubah iaitu sekitar RM9.50 hingga RM9.51 sekilogram. - Gambar hiasan

SHAH ALAM - Harga daging lembu menurun 1.4 peratus daripada RM36.40 kepada RM35.88 sekilogram, manakala ayam standard hampir tidak berubah iaitu sekitar RM9.50 hingga RM9.51 sekilogram.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bagaimanapun berkata, beberapa item mencatatkan kenaikan iaitu ikan kembung meningkat sebanyak 3.9 peratus kepada RM16.76 sekilogram, udang putih 1.2 peratus kepada RM32.11 sekilogram, sawi kepada RM7.23 sekilogram bersamaan peningkatan empat peratus manakala santan kelapa segar meningkat 6.7 peratus kepada RM16.88 sekilogram.

Berkaitan kos sara hidup, beliau memaklumkan harga bahan makanan masih berada dalam julat terkawal, namun beberapa tanda peningkatan sudah mula kelihatan.

“Bagi tempoh 4 hingga 6 Mei, harga bahan makanan terpilih bergerak dalam julat antara penurunan 2.0 peratus hingga kenaikan 6.7 peratus berbanding minggu sebelumnya.

“Walaupun statistik menunjukkan pergerakan harga makanan dilihat terkawal, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli Majlis Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) melahirkan kebimbangan bahawa terdapat golongan rakyat di sesetengah kawasan terutama luar bandar mula merasai tekanan harga barangan harian.

“Justeru, MTEN bersetuju supaya Ketua Setiausaha Negara dapat menyusulkan perkara ini bersama semua Ketua Setiausaha Kementerian bagi menyelaras inisiatif, usaha serta bantuan kerajaan agar sampai kepada kumpulan sasaran terutama golongan miskin dan rentan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi siaran langsung taklimat krisis bekalan global di Facebook Kementerian Ekonomi pada Selasa.

Sementara itu, Akmal Nasrullah memaklumkan bahawa purata penumpang rel pada April meningkat kepada 1,085,580 penumpang sehari iaitu kenaikan 7.6 peratus berbanding Mac lalu.

Tambah beliau, purata penumpang bas pula meningkat kepada 227,448 orang sehari, meningkat 10.3 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Jelasnya, keadaan itu menunjukkan tanda penyesuaian gaya hidup mula kelihatan bagi mendepani krisis tenaga global.

“Bagi penggunaan tenaga elektrik pula, purata permintaan maksimum bagi tempoh 4 hingga 10 Mei meningkat kecil sebanyak 1.4 peratus kepada 20,097 MW berbanding 19,815 MW pada minggu sebelumnya.

“Peningkatan kecil ini menunjukkan corak penggunaan elektrik masih terkawal walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Perkembangan ini menunjukkan bahawa sebahagian masyarakat mula menyesuaikan corak mobiliti dan perbelanjaan harian kepada pilihan yang lebih kos efektif,” ujarnya lagi.