Dahulu Golok 'syurga' lelaki, kini pusat pelancongan keluarga

LocalTravel
20 Nov 2024 • 8:26 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pekan Golok diibaratkan 'syurga' buat golongan lelaki kerana di sini terdapat hampir 100 pusat hiburan seperti karaoke, disko dan dangdut.

image is not available
Anirut Bua-On

image is not available
Kini Pekan Golok yang terletak hanya beberapa kilometer dari Rantau Panjang dikenali sebagai pusat pelancongan keluarga bukan sekadar untuk hiburan semata-mata.

SUNGAI GOLOK, THAILAND - Sebut sahaja Pekan Golok, ia sering diberi jolokan 'syurga' buat golongan lelaki kerana di sini terdapat hampir 100 pusat hiburan seperti karaoke, disko dan dangdut.

Bagaimanapun menurut Ketua Daerah Sungai Golok, Anirut Bua-On, itu kisah 40 tahun lalu kerana kini pekan yang terletak hanya beberapa kilometer dari Rantau Panjang, Malaysia itu dikenali sebagai pusat pelancongan keluarga, bukan sekadar untuk hiburan semata-mata.

"Kami (kepimpinan) di sini tekad mengubah Pekan Sungai Golok dari 'syurga hiburan' kepada pelancongan.

"Usaha ini bertujuan menukar tanggapan negatif rakyat Malaysia yang berkunjung ke sini semata-mata mahu berhibur. Jika 40 tahun lalu hanya orang lelaki yang masuk ke Pekan Golok untuk berhibur, itu benar. Namun hari ini ia sudah berubah sama sekali," katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di sini.

Menurut beliau, majoriti rakyat Malaysia yang masuk ke sini untuk tujuan pelancongan, membeli-belah serta menikmati pelbagai pilihan makanan.

Ujarnya, kebanyakan mereka datang bersama keluarga masing-masing sekali gus menyangkal persepsi negatif untuk tujuan berhibur semata-mata.

Anirut memberitahu, Pejabat Daerah kini sedang berusaha mengubah tanggapan tersebut dengan mempelbagaikan aktiviti setempat serta melaksanakan peraturan baharu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya memperketatkan sekatan di pusat-pusat hiburan dengan hanya membenarkan individu berusia 20 tahun dan ke atas masuk.

"Senjata api seperti pistol dan sebagainya tidak dibenarkan dibawa masuk semasa berhibur. Jadi pelancong luar tidak perlu takut jika berkunjung atau bermalam di sini kerana tahap keselamatan berada pada tahap terbaik," katanya.

Menurut Anirut, kes tangkapan enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi wanita popular Kelantan pada 1 November lalu telah menjejaskan ekonomi di Pekan Golok hampir 80 peratus.

Katanya, situasi itu menyebabkan pekan yang tidak pernah sunyi daripada orang ramai mulai lengang sepanjang seminggu selepas kejadian terbabit tanpa kehadiran rakyat Malaysia.

"Situasi seperti ini hanya boleh dilihat semasa semua negara dilanda pandemik Covid-19. Bagaimanapun situasi itu semakin pulih apabila rakyat Malaysia mula kembali melancong ke sini walaupun tidak semeriah sebelum kejadian tangkapan tersebut," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, penyanyi wanita popular di Kelantan antara enam individu yang ditahan polis Thailand dalam serbuan di sebuah hotel di Golok di sini.

Penahanan penyanyi berusia 20-an bersama lima lagi individu itu bagi membantu siasatan berkait rampasan 6,000 biji dadah dipercayai pil kuda.

Kesemua suspek yang ditahan juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Enam suspek itu kini direman selama 84 hari atau hampir tiga bulan bagi membantu siasatan.