Dahulu Lelaki Pakai Kasut Tumit Tinggi!

21 Nov 2022 • 10:30 AM MYT
Mohamad Azim
Mohamad Azim

Just a normal Malay bloke. Writer by profession.

Image from: Dahulu Lelaki Pakai Kasut Tumit Tinggi!
Rombongan diplomat Dinasti Safavid ke Poland pada 1605. Sumber: Balthasar Gebhardt

Rimas sebenarnya tengok orang pakai kasut tumit tinggi. Memang nampak cantik tetapi berisiko dari segi kesihatan. Bukan sedikit pemakainya berdepan masalah kesihatan dari artritis sampailah sakit leher dan belakang. Tetapi tak ramai orang tahu satu masa dahulu, kasut sebegini selalunya dipakai oleh lelaki!

Mungkin ada yang kata ini karutlah. Tetapi seawal abad ke-10 di Timur Tengah, kasut sebegini digunakan oleh lelaki bukan sebagai kasut berjalan ya. Sebaliknya, ia digunakan sebagai kasut menunggang kuda terutama oleh askar-askar pemanah setiap kali mereka keluar berperang. Ini didedahkan oleh Elizabeth Semmelhack, penulis buku Heights of Fashion: A History of the Elevated Shoe.

Bagi pemanah berkuda, amat penting bagi memastikan kasut mereka tidak terkeluar daripada rakap semasa menunggang. Ini kerana semasa menyerang musuh menggunakan panah, pergerakan kuda yang ditunggang amat pantas dan kuat. Kalau tak pakai kasut tumit tinggi, silap haribulan, mereka yang tercampak jatuh semasa memanah.

Semmelhack menambah, "Bila tentera pemanah memanah secara berdiri dari kuda mereka, kasut tumit tinggi membantu mengekalkan kedudukan mereka dan memanah dengan lebih berkesan." Kelebihan sebegini walaupun kecil boleh saja mempengaruhi keputusan sesebuah peperangan dan nasib sesebuah kerajaan.

Jadi, bagaimana kegilaan pakai kasut tumit tinggi timbul? Semuanya bermula menerusi kehadiran rombongan diplomatik Dinasti Safavid ke Eropah pada 1599. Rombongan ini dihantar oleh Shah Abbas I dengan tujuan membina pakatan dengan kuasa-kuasa Eropah dengan musuh ketatnya ketika itu, Empayar Turki Uthmaniyah.

Orang Eropah yang melihat rombongan diplomatik baginda terkejut melihat mereka memakai kasut tumit tinggi. Dengan kasut tersebut dikatakan menampilkan aspek kejantanan si pemakainya, secara perlahan-lahan kasut tumit tinggi menjadi ikutan ramai di Eropah. Tetapi bila ada orang kelas bawahan yang cuba mengikut trend sama, golongan bangsawan menambah ketinggian tumit kasut mereka bagi menampakkan mereka lebih tinggi.

Image from: Dahulu Lelaki Pakai Kasut Tumit Tinggi!
Potret Raja Louis XIV pakai kasut tumit tinggi. Sumber: Hyacinthe Rigaud (1659-1743)

Antara raja-raja Eropah yang terikut-ikut trend kasut tumit tinggi ketika itu ialah Raja Louis XIV. Dan ini dapat dilihat jelas dalam lukisan potret baginda. Ini merupakan permulaan rupa kasut tumit tinggi yang kita kenali hari ini.

Tapi macam mana perempuan pula yang minat kasut tumit tinggi? Tatkala trend kasut tumit tinggi dalam kalangan lelaki sudah berlalu, wanita mula memakainya sebagai simbol kecantikan bermula pertengahan abad ke-19. Sejak itu, trend kasut tumit tinggi dalam kalangan wanita kekal sehingga hari ini.


Mohamad Azim adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav.

Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.