‘Dahulu saya cemburu lihat orang lain ada anak’

Entertainment
3 Oct 2026 • 11:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Dahulu saya cemburu lihat orang lain ada anak’

BAGI sesetengah pelakon, sesuatu watak berakhir sebaik sahaja kamera dimatikan, namun aktres Siti Elizad melihat pengalaman menjayakan sesebuah naskhah mampu meninggalkan kesan lebih lama, malah mengubah cara seseorang termasuk diri sendiri melihat kehidupan.

Bertitik tolak daripada pengalaman menjayakan drama Mistik Bilik Mayat, pelakon berusia 42 tahun itu mula menyedari dunia lakonan juga boleh menjadi ruang mengutip pahala apabila karya disampaikan dengan mesej bermanfaat dan mampu membuka mata penonton mengenai kehidupan, kematian serta nilai agama.

Pemilik nama sebenar Siti Elizad Mohd. Sharifuddin itu percaya, peluang membawa watak sarat pengajaran tidak seharusnya dipandang ringan kerana setiap naskhah boleh menjadi wadah menyampaikan kebaikan.

“Apabila kita mendapat watak dengan mesej bagus, mengapa tidak kita terima? Sebagai pelakon, kadang-kadang saya sendiri tertanya-tanya, betulkah laluan kerjaya ini untuk saya? Saya pun masih belajar sedikit demi sedikit.

“Contohnya, ketika menjayakan Mistik Bilik Mayat untuk TV AlHijrah, saya perlu memakai stoking. Lama-kelamaan saya sedar, tidaklah terlalu susah. Walaupun cuaca panas, kita belajar memakai pakaian lebih longgar.

“Saya fikir, apa sahaja kita lakukan ini mungkin sesuatu Allah mahu kita pelajari,” katanya kepada HibGlam.

Ilmu urus jenazah

Menurut si tinggi lampai itu, tawaran menjayakan drama arahan Rashid Sibir tersebut turut membuka ruang buat dirinya mengenali lebih dekat beberapa perkara berkaitan pengurusan jenazah, termasuk ilmu baharu sebelum ini langsung tidak pernah terlintas dalam fikirannya.

“Untuk mendapat watak dalam drama sebegini, saya tidak pernah terfikir pun. Namun, apabila tiba-tiba mendapat tawaran ini, saya rasa sangat berbesar hati.

“Kalau tidak diberi peluang menjayakan watak ini, mungkin saya tidak akan mengetahui perkara tertentu.

“Contohnya mengenai susuk. Saya ingatkan susuk boleh terus dicabut apabila seseorang meninggal dunia. Rupa-rupanya tidak semudah itu dan perlu memanggil orang lebih arif.

“Saya juga baru tahu apabila seseorang meninggal dunia, rupa boleh berubah. Itu sebenarnya menakutkan,” ujarnya.

Pengalaman tersebut turut membuatkan Elizad lebih banyak merenung tentang kehidupan sendiri, terutama mengenai kematian, amal serta peluang mengumpul pahala dalam rutin harian.

Pernah suatu ketika, dia mengakui berasa cemburu melihat kehidupan wanita lain dikurniakan anak kerana menganggap rutin sebagai ibu sarat dengan ruang mengumpul pahala.

“Dahulu saya cemburu melihat orang sekeliling mungkin sudah mempunyai anak. Apabila berumah tangga, kehidupannya bermula seawal pagi, basuh dan gosok baju suami, anak, dapat pahala. Masak pun dapat pahala.

“Ibu-ibu bangun tengah malam pun mendapat pahala kerana penat menjaga anak-anak. Sebab itu saya cemburu dengan mereka.

“Apabila berlakon dalam drama ini, saya fikir mungkin Allah belum mengurniakan saya zuriat, namun saya masih boleh mengumpul pahala melalui orang di sekeliling,” luahnya.

Tidak berhenti pada hubungan sesama manusia, Elizad turut menyedari kebaikan boleh dilakukan dalam perkara kecil, termasuk ketika berinteraksi dengan jiran dan haiwan.

Mistik Bilik Mayat kini bersiaran menerusi aplikasi penstriman digital AlHijrah Plus (AH+) .

Siri lapan episod terbitan Opera Klasik Film tersebut mengangkat tema kematian, pengurusan jenazah dan pengebumian, sebuah ruang kehidupan jarang diterokai secara mendalam menerusi drama televisyen.

Selain Elizad, drama berkenaan turut menampilkan barisan pelakon hebat lain termasuklah Khir Rahman, Omar Abdullah dan Datuk Fauziah Nawi.

The post ‘Dahulu saya cemburu lihat orang lain ada anak’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved