SHAH ALAM, 9 APRIL: Daikin Malaysia Sdn Bhd (Daikin) menawarkan perkhidmatan pemeriksaan penyaman udara percuma kepada mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights.
Syarikat penyaman udara terkemuka Jepun itu memaklumkan pihaknya turut menawarkan caj buruh percuma untuk baik pulih serta potongan separuh harga bagi kos alat ganti.
“Kami amat memahami, banyak kediaman dan barangan asas termasuk penyaman udara, terjejas teruk akibat insiden kebakaran saluran gas.
“Sebagai sebahagian daripada komitmen kami kepada komuniti, kami menawarkan bantuan khas kepada 308 kediaman yang terkesan,” katanya menerusi Facebook.

Dalam kejadian 1 April lalu, saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights terbakar yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.

The post Daikin tawar khidmat baiki penyaman udara percuma kepada mangsa tragedi Putra Heights appeared first on Selangorkini.


