
Kota Kinabalu: Penerbitan utama Sabah Publishing House (SPH) iaitu Daily Express, Overseas Chinese Daily News (OCDN) dan Harian Ekspres terus mencipta impak apabila merangkul pelbagai anugerah di Kinabalu Press Awards (KPA) 2025.
Anugerah yang berlangsung pada malam Ahad itu sekali lagi mengukuhkan peranan SPH sebagai peneraju dalam mendukung kewartawanan berkualiti serta menyediakan berita yang relevan kepada rakyat Sabah, sama ada menerusi platform cetak atau digital.
Wartawan Kanan Sherell Ann Jeffrey mencipta rekod apabila memenangi Anugerah Kewartawanan (Bahasa Inggeris) buat tahun keenam berturut-turut.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Siri laporannya mengupas bagaimana wanita Sabah berdepan isu gangguan seksual. Dia juga meraih Merit dalam kategori Laporan Alam Sekitar melalui liputan isu pemuliharaan di Lembangan Maliau bersama penulis kanan Kan Yaw Chong.
Mereka berdua juga membawa pulang satu lagi Merit menerusi laporan berkaitan suatu pertikaian yang mempengaruhi nasib kuil Sikh tertua di Borneo di Tanjung Aru yang dibina pada 1924.
Wartawan mahkamah Joan George Mool menerima Merit dalam kategori Laporan Berita menerusi laporan bertajuk “Steps Taken After the Sulu Fiasco”.
Ricardo Unto memperoleh Merit dalam kategori Sukan menerusi laporannya mengenai potensi e-sukan Sabah.
Penulis laporan khas Kan memenangi kategori Perniagaan menerusi siri laporan tentang penanaman pokok berindustri dan harapan yang ditawarkan kepada sektor kayu balak Sabah.
Wartawan OCDN, Bong Tze Pin, meraih dua kemenangan dalam kategori Laporan Perniagaan menerusi liputan tentang SMJ Energy dan satu lagi dalam kategori Kewartawanan Alam Sekitar berkaitan isu pelunturan terumbu karang.
Dia juga menerima Merit dalam kategori Seni dan Budaya melalui laporan tentang amalan tradisi sogit dalam penyelesaian konflik.
Wartawan Gravin Wong Chian Kyun membawa pulang dua Merit – satu menerusi laporan tentang intervensi awal autisme dan satu lagi dalam kategori Sukan menerusi laporan mencabar stereotaip dalam pertandingan kecergasan.
Harian Ekspres pula mengekalkan standard laporannya dalam Bahasa Malaysia menerusi kemenangan Siti Kazalinah Kamaludin dalam kategori Seni dan Budaya dengan laporan War Cry, yang meraikan warisan tradisional Sabah dan Sarawak.
Noor Zafira Mohd Shafie menunjukkan prestasi cemerlang dengan meraih Merit dalam kategori Perniagaan dan Alam Sekitar menerusi laporan tentang strategi ekonomi biru dan transformasi sisa lestari.
Sementara itu, Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Mariah Doksil berkata, laporan tidak sahih dan separuh benar boleh menjejaskan perniagaan, menggugat kredibiliti kerajaan dan politik serta mengganggu keharmonian masyarakat.
“Kita semua sedar akan kesan berita palsu. Semasa pilihan raya, media sosial menjadi medan utama perang maklumat dan tanpa kawalan, ia boleh menjejaskan kestabilan awam,” katanya.
Beliau juga menekankan cabaran yang dihadapi kewartawanan arus perdana dalam era digital, terutama dengan pergantungan yang semakin meningkat kepada kecerdasan buatan (AI).
“Ada antara kita terlalu bergantung kepada AI untuk menulis berita, sampai kita membiarkan chatbot yang menentukan fakta dan gaya penulisan kita.
“Ya, AI membantu tetapi ia tetap ada batas. Jangan kita serahkan sepenuhnya kreativiti kita kepada mesin,” katanya.
Mariah mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan kerjasama pintar dengan organisasi media atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menjamin kelangsungan industri, terutama dalam menghadapi tekanan ekonomi yang meningkat dan penurunan pembaca media tradisional.
“Kami percaya peranan media yang bebas dan bertanggungjawab mesti dilindungi oleh semua pihak,” katanya.
Beliau memaklumkan bahawa sebanyak 268 penyertaan diterima tahun ini, yang dinilai oleh panel profesional dari Institut Akhbar Malaysia (MPI).
Katanya, anugerah ini bukan sahaja menghargai kecemerlangan dalam kewartawanan tetapi juga meraikan semangat penceritaan yang menjadi tonggak kepada kemajuan masyarakat.
“Kita sering menjadi penyampai cerita tentang perjalanan orang lain – perjuangan mereka, kejayaan dan titik perubahan mereka. Namun, di sebalik setiap byline (nama penulis), rakaman dan foto, kita juga adalah manusia yang didorong untuk mencari dan menyampaikan kebenaran,” tambahnya.
Beliau turut menghargai sumbangan Kerajaan Sabah sebanyak RM110,000 tahun ini, meningkat daripada RM100,000 sebelum ini dalam menyokong penganjuran acara tersebut.
Suatu acara utama malam itu ialah penyampaian Anugerah Perkhidmatan Emas (Tokoh Wartawan Sabah) kepada Chan Kang Yuan, 90, atas sumbangan luar biasa beliau dalam bidang kewartawanan selama lebih enam dekad.
Chan memulakan kerjaya pada 1958 di Overseas Chinese Daily News sebelum menjadi ketua pengarang di Borneo Times, Sandakan Jit Pao, Merdeka Daily News dan Sabah Shi Pao.
Beliau pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 18 bulan semasa darurat pasca 13 Mei kerana menerbitkan kandungan politik ketika sekatan dilaksanakan, namun tetap teguh memegang prinsip kewartawanan benar dan bertanggungjawab.
SJA memberi penghargaan kepada Chan atas keberanian, profesionalisme dan rasa tanggungjawab sosialnya yang tinggi, sambil menyifatkan khidmatnya sebagai teladan.
Selain itu, sebagai tanda solidariti, jawatankuasa penganjur turut membeli dan mengagihkan 100 pek beras hasil tani bekas wartawan sambilan Daily Express, Stefyanie Myla, yang kini sedang mengumpul dana untuk rawatan perubatan anaknya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai, bekas Presiden SJA Datuk Muguntan Vanar, Presiden MPI Datuk Yong Soo Heong dan tetamu kehormat lain.

