
DUYONG : Hilang kepercayaan terhadap hala tuju dan kepimpinan parti, Ketua Armada Bersatu Melaka, Muhammad Jefri Safry, mengambil keputusan meninggalkan parti untuk menyertai Parti Wawasan Negara (Wawasan).
Jefri yang juga Ketua Bersatu Bahagian Jasin, dikenali sebagai Dak Jep, berkata, keputusan itu dibuat kerana pendiriannya tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan parti, khususnya berhubung desas-desus kemungkinan kerjasama politik antara Bersatu dan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, perjuangan politik seharusnya berteraskan prinsip, keikhlasan dan kepentingan rakyat, bukannya semata-mata percaturan kuasa atau kepentingan politik tertentu.
Beliau berkata, penyertaan dalam Wawasan membuka ruang baharu untuk meneruskan perjuangan yang memberi penekanan kepada penyatuan ummah, perpaduan masyarakat dan pembelaan nasib rakyat.
“Parti boleh berubah, wadah perjuangan boleh bertukar, tetapi janji saya kepada rakyat tetap menjadi tanggungjawab yang mesti ditunaikan.
“Saya tidak akan meninggalkan masyarakat yang selama ini bersama saya.
“Selagi Allah memberikan kesihatan, kekuatan dan rezeki, saya akan terus membantu mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui selepas program Lenggang Warisan Melaka di Muzium Hang Tuah Kampung Jambatan Duyong di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Agung Wawasan, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan perubahan wadah politik itu tidak akan menjejaskan komitmennya untuk terus mendekati masyarakat dan membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang, bangsa atau fahaman politik.
“Saya mungkin meninggalkan Bersatu, tetapi saya tidak pernah meninggalkan perjuangan untuk rakyat.
“Jawatan dan parti bukanlah segala-galanya, apa yang lebih penting ialah keikhlasan, amanah dan tanggungjawab kita kepada masyarakat,” katanya.
The post Dak Jep hilang kepercayaan terhadap Bersatu appeared first on Utusan Malaysia.






