
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Dakwaan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang ada sekarang ini lebih kepada ideologi dan pemikiran politik adalah hanya pandangan bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar semata-mata.
Jelas Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, Wan Ahmad berhak menyuarakan pandangan tersebut.
"Dia berhak dan ada pandangan sendiri, itu pandangan beliau," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat urusan tarikh penting PRK Sungai Bakap di sini pada Khamis.
Wan Ahmad menerusi wawancara bersama Sinar Harian mendakwa ahli Suruhanjaya SPR yang ada sekarang ini tidak mencerminkan kehendak Perlembagaan tetapi lebih kepada ideologi dan pemikiran politik.
Dakwanya Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad melantik Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang diketuai oleh Tun Daim Zainuddin dan di bawahnya, terdapat beberapa jawatankuasa institusi.
Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) mencadangkan kepada Dr Mahathir nama Pengerusi SPR dan ahli-ahli suruhanjaya yang tidak mencerminkan kehendak Perlembagaan.
Pada perkembangan berkaitan, Azmi berkata, integriti proses perjalanan pilihan raya tidak dipersoalkan berdasarkan maklum balas diterima oleh pemerhati.
Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa perkara kecil yang boleh diperbaiki untuk tujuan penambahbaikan pada masa depan.
"Setakat ini (proses perjalanan pilihan raya) teratur dan lancar.
"Kalau kita lihat maklum balas daripada pemerhati apa dinyatakan adalah perkara kecil dan boleh diperbaiki lagi.
"Tetapi dari segi integriti proses tersebut memang tidak ada soal, setakat ini amat puas hati," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

