
AMPANG - Gara-gara tidak berpuas hati kerana mendakwa mangsa tidak mengendahkan arahan untuk menberhentikan kereta selepas terlibat nahas, seorang lelaki menumbuk seorang doktor dalam kejadian di hadapan stesen minyak di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.30 pagi.
Menurutnya, mangsa berusia 67 tahun menyedari kereta dipandunya telah dilanggar dari arah belakang semasa di lampu isyarat sebelum dihalang dari arah hadapan oleh sebuah kenderaan jenis Mercedes.
"Kemudian seorang lelaki telah turun dari kenderaan tersebut dan bertindak membuka pintu kereta mangsa lalu menumbuk muka, menarik rambut dan menerajang sehingga menyebabkan mangsa berasa sakit.
"Kejadian tersebut telah dirakam oleh pengguna lalu lintas sebelum tular di media sosial," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, susulan itu, suspek berusia 27 tahun telah ditahan pada jam 9.45 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya setelah hadir memberi keterangan.
Katanya, semakan mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah selain ujian air kencingnya adalah negatif.
"Siasatan awal dipercayai suspek bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan mangsa yang tidak mengendahkan arahan untuk menberhentikan kereta semasa pelanggaran kenderaan berlaku.
"Suspek akan direman untuk siasatan di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan," ujarnya.

![[VIDEO] Ramai Terharu Kisah Bro ‘Muka Gangster’ Ni, Sanjung Emak Walau Berlainan Agama](https://cdn.newswav.com/img/topic/entertainment.jpeg)