Dakwa SPRM Alat Politik, ‘Itu Tuduhan Yang Tak Adil’ - PM

LocalPolitics
6 Mar 2026 • 5:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Dakwaan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digunakan sebagai alat politik oleh kerajaan disifatkan sebagai satu tuduhan yang tidak adil.

Menegaskan perkara ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gabungan berkenaan sepatutnya perlu menyemak laporan siasatan rasmi sebelum membuat sebarang kenyataan. 

Menurut beliau, mana-mana pengkritik harus meneliti dapatan yang berkaitan sebelum mengeluarkan kenyataan tentang tindakan agensi anti-rasuah itu.

“Itulah pandangan BERSIH, tetapi tidak adil bagi BERSIH untuk membuat kenyataan yang tidak bersih. Jika anda ingin membuat tuduhan, lihat laporan itu terlebih dahulu sebelum memberi respons,” katanya kepada pemberita selepas Program Ihya Ramadan Jabatan Perkhidmatan Awam di sini hari ini.

Terdahulu, BERSIH mengkritik hala tuju SPRM dan mendakwa, agensi itu telah menyimpang daripada mandatnya untuk memerangi rasuah dan telah menjadi instrumen politik kerajaan.

Kritikan tersebut susulan laporan SPRM cuba mencari bekas pembantu bekas menteri, yang dikenal pasti sebagai James Chai.

Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, kritikan terhadap pegawai awam, termasuk ketua pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, adalah dibenarkan, namun ia perlu dibuat secara sah.

“Saya tidak membela sesiapa. Semua orang mahu keadaan bersih, apa itu? Tetapi puluhan bilion yang dicuri selama ini, mengapa tiada suara?

“Anda boleh mengkritik sesiapa sahaja, termasuk Azam Baki, tetapi konsistenlah. Apa yang telah dicuri di negara ini telah mencecah puluhan bilion yang telah pun terdedah,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Anwar mengesahkan beliau masih belum menerima laporan daripada jawatankuasa khas, yang menyiasat dakwaan berkaitan pemilikan saham Azam.

Jawatankuasa terbabit yang dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, ditubuhkan untuk meneliti dakwaan dan isu berkaitan yang melibatkan ketua SPRM itu. 

“Itulah yang saya tunggu. Mereka kata hari ini, tetapi saya belum menerimanya lagi,” katanya.

Jelasnya, sebarang keputusan mengenai perkara tersebut hanya akan dibuat setelah laporan berkenaan diserahkan. - Getaran, 6 Mac 2026