
Dakwa Tak Dapat Perhatian Ibu Bapa, Lelaki Nekad Bakar Rumah
Indonesia – Seorang lelaki ditahan dengan pertuduhan membakar rumah ibu dan bapanya di Desa Gombang, Jawa Barat pada Selasa, lapor detik.
Ketua Polis Depok, AKP Affandi mengesahkan kejadian yang berlaku. Menurutnya, pelaku, 21, bertindak demikian akibat berang apabila ibu dan bapanya didakwa tidak memberikan perhatian terhadapnya.
“Salah satu sebab ialah pelaku tidak dibelikan motosikal, lalu meminta perhatian daripada ibu dan bapanya,” maklum Affandi.
Difahamkan, ahli keluarga mendedahkan bahawa pelaku merasa dirinya tidak mendapat perhatian yang cukup. Situasi menjadi semakin tegang apabila pelaku mendakwa tidak menerima lawatan daripada ahli keluarga apabila dia sedang dirawat di Hospital Plumbon.
Sebaliknya, ahli keluarga berkata pihak mereka telah memberikan perhatian yang cukup buat pelaku biarpun ada permintaannya yang tidak dapat ditunaikan.
Jelas Affandi, kejadian bermula daripada pertengkaran antara pelaku bersama ibunya.
“Sebelum kejadian pada hari Isnin, pelaku menghubungi ibunya dan berlaku pertengkaran yang disaksikan oleh bapanya. Kemudian, pelaku datang ke rumah (ibu dan bapa) pada pagi tadi (Selasa).
“Walau bagaimanapun, ibunya tiada di rumah, hanya bapanya yang ada. Pelaku mengugut untuk membakar rumah ibu bapanya lalu membakar tilam foam di bilik belakang rumah berkenaan menggunakan pemetik api,” katanya.
Menurutnya lagi, tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun kebakaran yang berlaku menyebabkan rumah tersebut hangus dijilat api. Pelaku dituduh di bawah Perkara 187 Kanun Jenayah perenggan 1 berkaitan jenayah membakar yang membawa kepada hukuman maksimum penjara lima tahun.
Dalam pada itu, Ketua Bomba, Penyelamat dan Infrastruktur (PPSP) Jabatan Bomba Cirebon, Eno Sujana berkata, pihaknya menerima laporan kebakaran sekitar jam 10.30 pagi waktu tempatan.
“Kami menerima makluman dan laporan tentang kebakaran di Desa Gombang sekitar jam 10.30 pagi,” maklumnya.
Menurutnya lagi, rumah mangsa tidak dapat diselamatkan biarpun api telah dipadamkan. Pasukan pemadam kebakaran juga bertindak mencegah kebakaran dari merebak ke bangunan sekitar.
Sumber: detik
The post Dakwa Tak Dapat Perhatian Ibu Bapa, Lelaki Nekad Bakar Rumah appeared first on Siakap Keli.



