Dakwaan anak Najib hina demokrasi, perlekeh pengundi Johor - Ahli MPP PKR

LocalPolitics
3 Jul 2026 • 4:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dakwaan anak Najib hina demokrasi, perlekeh pengundi Johor - Ahli MPP PKR
Sivamalar

SHAH ALAM – Kenyataan mengaitkan potensi kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Johor sebagai isyarat rakyat mahu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diberikan pengampunan disifatkan sebagai penghinaan terhadap prinsip demokrasi dan kebijaksanaan rakyat negeri itu.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), G Sivamalar berkata, dakwaan dibuat anak Najib, Datuk Seri Nazifuddin itu bukan sahaja bersifat angkuh, malah memperlekehkan hak pengundi yang memilih kerajaan berdasarkan keupayaan mentadbir negeri, bukannya bagi menentukan nasib seseorang individu.

Menurut beliau, pilihan raya merupakan medan rakyat memilih pentadbiran yang berintegriti, mampu mengurus ekonomi, menangani kos sara hidup, menarik pelaburan dan menjamin masa depan negeri.

"Menjadikan kemenangan pilihan raya sebagai 'mandat' untuk mendapatkan pengampunan seseorang bukan sahaja memperlekehkan jutaan pengundi Johor, ia juga tidak menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Setiap undi rakyat Johor amat bernilai dan tidak boleh dijadikan lesen politik bagi menyelamatkan individu yang telah dijatuhi hukuman oleh mahkamah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sivamalar berkata, PKR dan Pakatan Harapan (PH) sentiasa menjunjung institusi kehakiman serta menghormati kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pengampunan yang mempunyai saluran dan prosedur tersendiri tanpa sebarang tekanan atau eksploitasi politik.

Mengulas lanjut, Timbalan Setiausaha Agung PKR itu berkata, Nazifuddin juga gagal mengambil kira fakta sejarah apabila Johor mencatatkan kadar keluar mengundi sekitar 89 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sehingga menyaksikan BN tumbang buat kali pertama di negeri yang sekian lama dianggap kubu kuat parti itu.

Sebaliknya, katanya, kemenangan besar BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 berlaku ketika pandemik Covid-19 dengan kadar keluar mengundi hanya sekitar 54.9 peratus.

"Fakta ini membuktikan apabila rakyat Johor keluar beramai-ramai mengundi, mereka membuat pilihan berdasarkan harapan terhadap masa depan negeri, bukannya demi kepentingan mana-mana individu.

"Oleh itu, cubaan mentafsir keputusan pilihan raya sebagai mandat untuk pengampunan Najib bukan sahaja tidak berasas, malah merupakan manipulasi politik terhadap suara rakyat," ujarnya.

Beliau yakin rakyat Johor akan sekali lagi membuktikan kematangan mereka pada hari pengundian 11 Julai ini dengan menolak naratif yang disifatkan menghina kebijaksanaan pengundi.

"Demokrasi bukan milik mana-mana keluarga politik. Demokrasi adalah hak rakyat dan rakyat Johor tahu bagaimana mempertahankannya.

"Saya percaya rakyat akan memberikan jawapan yang jelas melalui peti undi," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved