Dakwaan Azmin ‘kabur tanpa fakta’, MB tunjuk ekonomi Selangor terus meningkat

16 Oct 2022 • 11:36 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 16 OKT: Dato’ Menteri Besar menunjukkan peningkatan ekonomi Selangor termasuk sumbangan 24.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 berbanding 23.2 pada 2017.

Menjawab tohmahan negeri merosot, Dato’ Seri Amirudin Shari turut berkongsi sumbangan KDNK sektor pembuatan sebanyak 32 peratus, angka tertinggi di Malaysia.

“Dakwaan kabur tanpa bergantung fakta,” katanya di Twitter hari ini, menjawab tuduhan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Dilantik selepas Azmin meletak jawatan pada 2018, Amirudin turut menegaskan Selangor terus maju hasil kerja berpasukan seluruh pemimpin negeri.

“Sejak beliau meninggalkan Selangor, prestasi ekonomi Selangor meningkat baik, sumbangan KDNK kepada Malaysia meningkat, program kebajikan kepada rakyat juga bertambah.

“Selangor makmur bukan hasil kejayaan seorang individu sahaja tapi usaha berpasukan,” jelas Amirudin lagi.

Mengulas ringkas berita sebuah portal, beliau melampirkan graf peningkatan KDNK Selangor kepada 23.7 peratus pada 2018, 24.2 peratus (2019) dan 24.3 (2020).

“(Graf peningkatan) ini makna merosot bagi beliau (Azmin),” kata Amirudin lagi dengan nada sinis.

 

image is not available