
Baru-baru ini kecoh mengenai laporan agensi berita antarabangsa Bloomberg yang mendakwa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mempunyai pegangan saham sebanyak 17.7 juta dalam Velocity Capital Bhd bernilai RM800,000 pada 2025.
Isu ini nyata menarik perhatian ramai termasuk Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang menggesa Azam Baki digantung tugas bagi membolehkan satu siasatan dilakukan.
Azam Baki kemudiannya menjelaskan telah mengisytiharkan perkara itu dan pemilikan berkenaan telah dilupuskan pada tahun yang sama. Malah beliau berkata laporan Bloomberg adalah berniat jahat dan mengelirukan justeru telah menghantar satu surat tuntutan (LOD) saman RM100 juta.
Rafizi dalam masa sama mempersoalkan motif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan mempertahankan Azam Baki meskipun Bloomberg sudah mendedahkan laporan eksklusif yang mendakwa SPRM dibolosi oleh beberapa individu yang terpalit dengan pelbagai tuduhan jenayah.
𝗬𝗕𝗠 𝟭𝟯 𝗙𝗘𝗕:
— Rafizi Ramli (@rafiziramli) February 12, 2026
𝗦𝗣𝗥𝗠 𝗗𝗜𝗕𝗢𝗟𝗢𝗦𝗜 𝗠𝗔𝗙𝗜𝗔 𝗞𝗢𝗥𝗣𝗢𝗥𝗔𝗧?
𝗕𝗔𝗚𝗔𝗜𝗠𝗔𝗡𝗔 𝗠𝗢𝗗𝗨𝗦 𝗢𝗣𝗘𝗥𝗔𝗡𝗗𝗜 𝗠𝗔𝗙𝗜𝗔 𝗞𝗢𝗥𝗣𝗢𝗥𝗔𝗧?
𝗗𝗔𝗡
𝗔𝗡𝗪𝗔𝗥 𝗜𝗕𝗥𝗔𝗛𝗜𝗠 𝗛𝗔𝗟𝗔𝗨 𝗦𝗔𝗬𝗔 𝗞𝗘𝗟𝗨𝗔𝗥 𝗣𝗞𝗥
Minggu ini panas dengan pendedahan-pendedahan… pic.twitter.com/177Fob8XBV
Baca Artikel Berkaitan: “Saya Tak Boleh Brain Macam Mana KP SPRM Boleh Keliru Pasal Saham?” – Rafizi Ramli [Video]
Dakwaan Azam Baki Miliki Saham Jutaan Ringgit Adalah Perkara Serius – Rafizi
Terbaharu hari ini (13 Februari), Rafizi menerusi satu sidang media berkata laporan oleh Bloomberg berkenaan adalah sangat serius dan satu siasatan bebas dan telus perlu disegerakan berlandaskan butiran dakwaan yang ada.
Rafizi turut mendedahkan tiga daripada dakwaan yang tergantung di dalam laporan Bloomberg tersebut antaranya salah guna kuasa dalam SPRM, dan dakwaan pengambilalihan korporat melibatkan agensi berkenaan.
“Perkara ini tidak pernah kita dengar sebelum ini. Bayangkan kalau satu agensi penguatkuasa terdedah ke risiko ini, tidak ada orang yang selamat tau. Dia bukan semata-mata soal tidak suka kepada Azam Baki, ini adalah tuduhan yang yang sangat serius.
“Kalau kita boleh tutup (cerita) di Malaysia pun, akan ada kesan besar di seluruh dunia kerana satu dunia baca Bloomberg. Pelabur-pelabur baca Bloomberg. Kalau beginilah keadaannya di Malaysia, saya tidak ada sebarang perlindungan,” katanya.
Malah Rafizi secara berseloroh berkata dia dan rakan seangkatannya telah mendapat peringatan yang pendedahan ini mungkin akan mengundang kemarahan kumpulan kongsi gelap.
Pun begitu, beliau tidak gentar kerana berbuat demikian atas kapasiti seorang Ahli Parlimen (MP) yang mewakili rakyat.
Dakwa Bekas Menteri Ekonomi itu lagi, pendedahan ini bukan sahaja melibatkan reputasi SPRM, tetapi juga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) meskipun butiran mengenai dua agensi ini tidak diperincikan dalam laporan itu.
Tambah Rafizi, kes ini sewajarnya disiasat memandangkan Bloomberg telah mendedahkan penjelasan terperinci, bukti, nama dan kes yang terpalit.
“Orang politik mungkin berharap agar perkara ini boleh hilang dan diam begitu sahaja. Tapi kami sebagai Ahli Parlimen ada tanggunggjawab untuk menyampaikan perkara ini.”
Sudah 3 Hari Tetapi Tiada Tindakan Terhadap Azam Baki – Rafizi
Menurutnya, walaupun selepas tiga hari kes ini menjadi topik hangat, namun tiada tindakan tegas diambil terhadap Azam Baki. Sebaliknya hanya “suam-suam kuku”.
Jelas beliau, kes pemilikan saham ini juga perlu dipandang serius namun, ia hanya mendapat perhatian kerajaan sekiranya majoriti rakyat dan Ahli Parlimen lain mendesak.
“Sebenarnya setiap pendedahan yang dibuat oleh Bloomberg itu sudah mewajarkan satu siasatan jenayah dibuka untuk setiap satu dakwaan. Soal LHDN, soal kes penggubalan wang haram, mencuci duit kongsi gelap, itu semua sahaja memang pernah ada kes pun sebelum ni tapi hilang begitu sahaja,” kata Rafizi.
Rafizi juga mendesak agar satu siasatan menyeluruh dilakukan memandangkan wujud dakwaan saling kait antara SPRM dan ahli perniagaan yang dituduh rapat dengan perniagaan kongsi gelap.
Tegasnya sekali lagi, tuduhan yang dibuat di dalam Bloomberg itu memberi gambaran bahawa agensi kerajaan telah dibolosi oleh unsur-unsur kongsi gelap.
Nasihat PM Tak Ulang Kesilapan Najib
Rafizi dalam masa sama turut menasihati PM agar tidak mengulangi kesilapan-kesilapan yang pernah dibuat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak semasa skandal 1MDB dahulu.
“Kita dah laluinya. Rakyat Malaysia dah laluinya, dan kita dah tahu skripnya. Apabila ada pendedahan besar oleh media antarbangsa, reaksi pertama adalah ini semua tipu. Kemudian ‘gam’ dan tidak beri orang baca.
“Saya nak sampaikan kepada Datuk Seri Anwar, Tan Sri Azam Baki, bahawa saya ni veteran bab-bab kena tangkap, saya bersedia melalui semuanya sekali lagi kerana kita juga pernah laluinya sebagai sebuah negara bahawa taktik intimidasi dan juga mencipta kes seperti ini telah pun dibuat oleh pentadbiran-pentadbiran sebelum ini dan kita pun tahu perkara itu tidak berjaya.
“Akhirnya kebenaran akan tetap terserlah dan rakyat akan buat penghakiman. Saya juga nak ingatkan Datuk Seri Anwar kerana dia juga yang pernah melaungkan bahawa rakyat adalah hakim negara,” tambahnya.

