Dakwaan Diserang Kerabat Pahang, Mangsa Kecewa Belum Ada Tindakan

LocalPolitics
17 Oct 2024 • 4:36 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang pekerja pembinaan mendakwa menjadi mangsa serangan berkumpulan yang didalangi seorang kerabat itu di sebuah kandang kuda di Kuantan, Jun lalu pada 5 Sept lalu.

Memetik laporan Malaysiakini, Alias Awang, 44, yang menjadi mangsa serangan seorang kerabat diraja Pahang bersama sekumpulan individu kecewa kerana belum ada tindakan daripada pihak berkuasa berhubung perkara itu.

image is not available

Foto: Carian Google

Alias berkata, selepas insiden diserang dengan senjata tajam dan pistol tular sehingga mendapat perhatian Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, masih belum ada tindakan susulan daripada pihak berkuasa.

“Setakat ini masih belum ada apa-apa tindakan, pihak polis pun senyap. Saya tunggu jika ada apa-apa perkembangan selepas isu ini tular baru-baru ini.

“Perkembangan ini sedikit mengecewakan saya lah…saya berharap ada pembelaan buat saya. Setakat ini semuanya diam,” katanya.

image is not available

Foto: Facebook Malaysiakini

Mangsa memberitahu, dia dihubungi oleh seorang individu dipercayai orang suruhan anak kerabat berkenaan untuk bertemu dengannya.

“Saya diserang oleh kira-kira 20 orang termasuk anak Tengku berkenaan. Dalam kejadian itu seorang rakannya telah menyerang saya dengan menikam peha kanan saya dengan pisau.

“Anak Tengku berkenaan pula melepaskan tembakan ke arah kaki saya, namun tidak mengenai sasaran,” dakwanya yang membuat laporan polis pada 8 Jun, dua hari selepas kejadian.

image is not available

Foto: Utusan Malaysia

Rentetan isu itu, Tengku Hassanal bertitah supaya polis mengambil tindakan tegas terhadap kerabat diraja negeri itu yang didakwa menyerang orang awam.

Terdahulu, Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata kertas siasatan berkenaan kes itu telah dirujuk kepada pejabat timbalan pendakwa raya (DPP) untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat bawah Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan kerana merusuh.

image is not available

Foto: Malaysia Gazette

Sementara itu Alias berharap pihak berkuasa memberi perhatian serius terhadap kes berkenaan seperti mana titah Tunku Mahkota Pahang yang mahukan tindakan tegas diambil.

“Saya kecewa kerana ini juga membabitkan titah Tuanku Tengku Mahkota Pahang yang mahu tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa.

“Saya harap apa yang berlaku terhadap saya ini tidak didiamkan begitu sahaja,” ujarnya lagi.

Sumber: Malaysiakini (Haspaizi Zain)