Dakwaan FIFA Tidak Tepat, Rayuan Akan Dikemukakan Segera – FAM

PoliticsFootball
7 Oct 2025 • 10:07 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bahawa tujuh pemain kebangsaan memperoleh dokumen palsu atau cuba mengelak peraturan kelayakan antarabangsa.

Menurut kenyataan di Facebook rasmi, FAM menegaskan tiada sebarang bukti dikemukakan oleh FIFA bagi menyokong dakwaan berkenaan.

image is not available

“FAM memandang serius kesimpulan tersebut kerana ia tidak disertakan sebarang bukti yang sahih. Semua urusan dokumentasi dan pengesahan pemain dilaksanakan mengikut prosedur rasmi, dan para pemain hanya bergantung kepada proses yang dijalankan oleh FAM,” katanya.

FAM turut menjelaskan bahawa pihaknya telah menerima dokumen penghakiman penuh daripada FIFA dan kini sedang mempersiapkan rayuan rasmi melalui saluran undang-undang yang ditetapkan.

“Semua dokumen serta bukti sokongan berkaitan isu ini telah lengkap dan sedia dikemukakan kepada FIFA dengan kadar segera,” ujarnya.

Menurut badan induk itu, dakwaan bahawa pemain sengaja cuba mengelak peraturan kelayakan adalah tidak benar serta tidak adil, dan perkara tersebut akan dibangkitkan sepenuhnya dalam proses rayuan rasmi nanti.

Persatuan Bolasepak Malaysia menegaskan komitmennya untuk mempertahankan hak para pemain serta memastikan proses ini dijalankan secara telus dan mengikut undang-undang.

image is not available

Dalam masa sama, FAM turut memaklumkan bahawa kes ini melibatkan dokumen rasmi kerajaan Malaysia berkaitan pengeluaran dan pengesahan pasport.

“Selaras dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Pasport 1966, sebarang pendedahan terhadap bahan atau proses berkaitan tanpa kebenaran adalah dilarang sama sekali.

“Oleh itu, FAM hanya akan berkongsi maklumat tersebut dengan FIFA bagi tujuan kes ini,” tambahnya.

Sumber: Facebook @Football Association of Malaysia