
KUALA LUMPUR - Beberapa pemimpin DAP menempelak kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini yang mengaitkan parti itu dengan komunis.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP (CEC), Sheikh Umar Bagharib Ali menegaskan, jika UMNO Barisan Nasional (BN) didakwa merosakkan politik orang Melayu dengan rasuah, PAS pula merosakkan orang Melayu dengan budaya fitnah.
“Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini, rakyat perlu menolak UMNO dan BN kerana rasuah dan tolak PAS kerana fitnah.
“Saya mengingatkan kepada pengundi, selain melawan politik rasuah dan korupsi yang terpalit hebat pada pemimpin UMNO dan BN, rakyat juga harus menolak politik fitnah,” katanya dalam kenyataan.
Abdul Hadi menerusi Twitternya telah memuat naik satu siri grafik yang mengaitkan DAP dengan ideologi komunis.
Untuk rekod, DAP adalah sebuah parti yang berideologi sosial demokrasi.
Mengulas lanjut, Sheikh Umar berkata, fitnah dilarang keras dalam Islam sehingga dosa perbuatan itu disifatkan lebih berat daripada membunuh.
Beliau menegaskan, politik rasuah dan budaya fitnah tersebut akan membawa Malaysia ke arah kehancuran serta menjadi penyebab negara jauh ketinggalan berbanding negara lain.
“Rasuah menjahanamkan ekonomi, budaya fitnah pula meranapkan ketamadunan kita. Jika terus begini, rakyat Malaysia khususnya orang Melayu akan menjadi bangsa yang lemah kerana perbuatan UMNO-BN dan PAS.
“Tidak malukah Abdul Hadi melihat negara jiran yang sedang pesat membangun dengan serba-serbi aspek ekonomi dan etika rakyat mereka?” soalnya.
Dalam pada itu, penyandang Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menyifatkan dakwaan Abdul Hadi sebagai fitnah sambil menegaskan, beliau percaya kepada Tuhan.
“Ini fitnah. Saya percaya kepada Tuhan. Rukun Negara saya lafaz sejak di sekolah lagi.
“Sedih, fitnah seperti ini datang daripada parti agama,” katanya. - Getaran 20 Oktober 2022
