Dakwaan jatuhkan kerajaan: Wan Saiful sahkan dipanggil bantu siasatan

LocalPolitics
11 Mar 2026 • 3:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Wan Saiful

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengesahkan dirinya turut dipanggil untuk membantu siasatan berhubung cubaan menjatuhkan kerajaan.

Jelas beliau, beberapa orang rakannya daripada institusi pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga disiasat.

"Saya dimaklumkan beberapa orang rakan dari dunia akademik dan NGO telah dipanggil oleh polis untuk memberi keterangan.

"Saya juga akan memberi keterangan hari ini (semalam) tetapi tidak pasti kenapa saya dipanggil. Saya tertanya-tanya adakah ia satu cubaan untuk mengaitkan pembangkang dengan isu ini?" katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Sebelum ini, tular satu laporan polis di internet yang mendakwa wujud perbincangan antara keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin dengan firma asing bagi menggunakan media antarabangsa untuk tujuan yang dikatakan salah.

Laporan polis tersebut telah dibuat oleh seorang editor sebuah agensi media yang turut menjalankan perniagaan konsultansi perhubungan awam.

"Saya tahu bahawa individu ini pernah menawarkan perkhidmatan perhubungan awam kepada Toh Puan Nai’mah untuk menangani tohmahan-tohmahan yang dilemparkan kepada beliau dan keluarga.

"Namun tawaran tersebut telah ditolak oleh Toh Puan Nai’mah. Saya tidak menolak kemungkinan bahawa laporan polis ini dibuat untuk membalas penolakan tersebut dan jika itulah motifnya, maka integriti individu ini dalam menjalankan konsultansi perhubungan awam dan syarikat media boleh dipersoalkan," ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Saiful turut mempertikaikan siasatan yang dibuat itu di bawah seksyen 124B yang merujuk kepada aktiviti ganas yang tidak berperlembagaan untuk menggulingkan institusi Parlimen yang telah dipilih melalui sistem demokrasi.

"Dalam Hansard Dewan Rakyat bertarikh 17 April 2012, perbahasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada ketika itu jelas menunjukkan bahawa aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen di bawah seksyen 124B.

"Bagaimana pula aktiviti media atau kempen awam tiba-tiba boleh menjadi perkara yang disiasat di bawah seksyen ini?" soalnya.

Tambah beliau, takrifan mengenai perbuatan menjejaskan demokrasi berparlimen telah dibahaskan oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang pada ketika itu, termasuk oleh Menteri Dalam Negeri sekarang, yang bimbang mengenai takrifan yang longgar akan disalah guna oleh pihak berkuasa.

"Maka timbul persoalan asas, bagaimana laporan media atau kempen awam boleh diklasifikasikan sebagai aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen?

"Adakah kempen awam oleh orang politik atau parti politik, atau kritikan terhadap kerajaan yang disiarkan oleh media, juga akan menjadi kesalahan di bawah kerajaan Madani ini?" soal beliau.

Justeru katanya, siasatan di bawah seksyen itu adalah tidak munasabah dan satu penyalahgunaan kuasa oleh Kerajaan Madani dan jika dibiarkan akan beri impak serius kepada kebebasan dan pengamal media

"Saya juga bimbang jika ada pengamal media yang tidak berjaya membida sesuatu projek kemudian menggunakan butiran yang mereka peroleh untuk menimbulkan masalah kepada pelanggan yang menolak mereka. Ini mewujudkan ketidakpercayaan kepada media yang sepatutnya menjadi the fourth pillar of democracy'," ujarnya.