Dakwaan keracunan makanan laut: JPNS ambil sampel kupang, air laut

2 Apr 2024 • 8:40 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SEREMBAN: Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) telah mengambil sampel kupang dan air di perairan Port Dickson susulan dakwaan berlaku kes keracunan makanan akibat makanan laut itu.

Timbalan Pengarah JPNS Doreen Wee berkata pihaknya menerima laporan pada pagi tadi daripada Hospital Port Dickson berkenaan beberapa individu mengalami keracunan makanan disyaki disebabkan memakan kupang dan kerang.

“Setelah menerima laporan itu, pihak kami terus menjalankan tindakan selanjutnya dengan mengambil sampel air dan kupang di perairan Port Dickson.

“Isu ini masih dalam siasatan dan menunggu keputusan makmal perikanan, mungkin memerlukan tiga hingga empat hari untuk mendapatkan keputusan,“ katanya ketika dihubungi Bernama.

Wee berkata pihaknya dimaklumkan terdapat sembilan individu di daerah berkenaan mengalami keracunan makanan akibat memakan kupang dan kerang.

Terdahulu, Pengurusan Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang mengeluarkan hebahan larangan membeli serta memakan kupang dan kerang tempatan buat sementara waktu berikutan terdapat kes keracunan makanan disyaki berpunca daripada memakan kupang dan kerang dari perairan Port Dickson.

Persatuan berkenaan turut meminta nelayan dan pengusaha supaya menghentikan pengeluaran hasil kupang dan kerang manakala peniaga disaran menarik balik kedua-dua hasil laut itu daripada pasaran.

Larangan berkenaan katanya, adalah bersifat sementara bagi memberi laluan kepada Jabatan Kesihatan untuk mengawal kes itu.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Datuk Dr Harlina Abdul Rashid mengesahkan terdapat lapan kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang dengan dua kes dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), wad biasa (lima) dan pesakit luar (satu).

Beliau berkata kejadian tersebut mula dikesan semalam apabila Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Port Dickson menerima notifikasi dari Hospital Port Dickson memaklumkan kes tersebut.

Dr Harlina berkata siasatan awal mendapati kesemua kes terdiri daripada beberapa keluarga yang berbeza dan mempunyai sejarah memakan kupang yang dibeli dari dua pasar di sekitar Port Dickson.

“Kesemua kes mengalami gejala sakit kepala, kebas tangan dan kaki, serta lemah otot. Terdapat dua kes dimasukkan ke ICU kerana mengalami gejala yang lebih teruk iaitu paralisis,“ katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan bersama Jabatan Perikanan negeri dan beberapa sampel diambil untuk analisis makmal selain pemakluman kepada semua fasiliti kesihatan untuk mengenal pasti kes yang mempunyai gejala sama dengan sejarah pengambilan kupang atau dwicengkerang yang lain.

“Jabatan Kesihatan negeri akan terus memantau perkembangan terkini kejadian keracunan kupang ini serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan dengan kerjasama pelbagai agensi yang berkaitan,“ katanya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai yang bergejala dan mempunyai sejarah memakan kupang atau dwicengkerang yang lain untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran. -Bernama