Dakwaan Kerajaan Negeri Sembilan Abaikan Isu Pencerobohan Tanah Tidak Benar – Fahmi

LocalPolitics
24 Jul 2026 • 9:28 AM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

Image from: Dakwaan Kerajaan Negeri Sembilan Abaikan Isu Pencerobohan Tanah Tidak Benar – Fahmi

Pakatan Harapan (PH) menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan tidak mengambil sebarang tindakan berhubung isu pencerobohan tanah kerajaan di beberapa kampung di sekitar daerah ini, termasuk Kampung Pasir.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan bahawa Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan bersama Pejabat Daerah dan Tanah Seremban telah pun mengambil tindakan susulan sejurus menerima aduan berhubung isu berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa berdasarkan maklum balas dan semakan yang dilakukan, sebanyak 12 buah rumah telah dikenal pasti menduduki tanah kerajaan negeri secara tidak sah.

“Hasil semakan mendapati 12 rumah dikenal pasti menceroboh tanah kerajaan negeri. Daripada jumlah itu, sebanyak lima pemilik rumah telah ditawarkan Rumah Mampu Milik oleh kerajaan negeri dan proses pemindahan sedang berjalan.

“Bagi rumah yang lain, Pejabat Daerah dan Tanah Seremban telah menyediakan laporan untuk pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sehingga Mei lepas. Namun, pentadbiran tertangguh ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bulan Jun,” katanya pada sidang media khas PH di sini hari ini.

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi merangkap Ketua Penerangan PKR, menambah bahawa pembubaran DUN Negeri Sembilan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) menyebabkan beberapa keputusan pentadbiran rasmi perlu ditangguhkan sementara sehingga kerajaan negeri yang baharu dibentuk.

Oleh itu, beliau menegaskan tuduhan bahawa pentadbiran negeri berlepas tangan adalah tidak berfakta sama sekali kerana proses penyelesaian telah pun bermula sebelum DUN dibubarkan.

Sidang media berkenaan turut dihadiri oleh Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad serta Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin.

Sumber: BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved