KUALA LUMPUR – Dakwaan ketidakpadanan antara bil muatan dan pergerakan fizikal kargo petroleum di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor perlu disiasat secara menyeluruh kerana berpotensi menjejaskan kutipan hasil negara serta integriti sistem perdagangan.
Presiden Malaysia Corruption Watch (MCW), Jais Abdul Karim berkata, sekiranya dakwaan itu mempunyai asas, ia boleh membuka ruang kepada penipuan perdagangan, manipulasi dokumentasi, pengelakan cukai dan duti serta penyeludupan produk petroleum.
Menurutnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar memberi perhatian segera terhadap perkara tersebut sekiranya terdapat elemen rasuah, salah guna kuasa atau pemalsuan dokumen.
"Sekiranya dakwaan tersebut mempunyai asas dan tidak ditangani secara tegas, ia boleh membuka ruang kepada pelbagai bentuk salah laku termasuk penipuan perdagangan, manipulasi dokumentasi, pengelakan cukai dan duti, penyeludupan produk petroleum serta amalan pengubahan wang haram.
"Dalam industri petroleum yang melibatkan transaksi bernilai jutaan ringgit bagi setiap penghantaran, sebarang percanggahan antara dokumen dan pergerakan sebenar kargo boleh menyebabkan ketirisan hasil negara yang besar," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jais berkata, isu itu tidak boleh dianggap sekadar masalah teknikal berkaitan dokumentasi kerana kelemahan kawalan dalaman dan pemantauan boleh mewujudkan ruang kepada rasuah atau penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu dalam rantaian logistik, penguatkuasaan dan perdagangan antarabangsa.
Menurutnya, risiko menjadi lebih serius sekiranya data berkaitan kargo, rekod kastam, manifest kapal, dokumen perdagangan dan rekod penyimpanan terminal tidak disemak secara menyeluruh serta bebas.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihak berkuasa perlu memperkukuhkan mekanisme semakan silang antara data pelabuhan, rekod Jabatan Kastam Diraja Malaysia, sistem pemantauan kapal, dokumen perdagangan dan rekod penyimpanan terminal.
Katanya, pendigitalan penuh rantaian bekalan petroleum juga perlu dipercepatkan bagi memastikan setiap transaksi dapat dijejak secara masa nyata dan diaudit dengan lebih berkesan.
"MCW berpandangan pihak berkuasa perlu memperkukuhkan mekanisme semakan silang antara data pelabuhan, rekod kastam, manifest kapal, sistem pemantauan kapal, dokumen perdagangan dan rekod penyimpanan terminal.
"Pendigitalan penuh rantaian bekalan petroleum perlu dipercepatkan bagi memastikan setiap transaksi dapat dijejak secara masa nyata dan diaudit dengan lebih berkesan," katanya.
Beliau turut mencadangkan audit bebas secara berkala, penggunaan teknologi analitik data, integrasi pangkalan data antara agensi serta perlindungan lebih kukuh kepada pemberi maklumat bagi mengesan sebarang ketidakpatuhan lebih awal.
Menurutnya, tindakan pantas dan bebas oleh SPRM penting bagi mengelakkan persepsi wujudnya kelemahan penguatkuasaan atau layanan istimewa terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
Mengulas lanjut, Jais berkata, integriti sistem perdagangan negara merupakan aset strategik yang perlu dipertahankan kerana sebarang dakwaan boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan kredibiliti institusi penguatkuasaan mesti ditangani secara menyeluruh.
"Sebarang dakwaan yang berpotensi menjejaskan keyakinan pelabur dan kredibiliti institusi penguatkuasaan hendaklah disiasat secara menyeluruh demi kepentingan negara," katanya.
Terdahulu, sebuah portal tempatan melaporkan dakwaan berhubung kemungkinan berlaku ketidakpadanan antara bil muatan (Bill of Lading) dan pergerakan fizikal kargo petroleum di Pelabuhan Tanjung Langsat yang didakwa melibatkan transaksi bernilai jutaan ringgit.
Laporan itu turut mendakwa aduan berkaitan perkara tersebut telah dibawa kepada SPRM untuk siasatan lanjut, selain menimbulkan persoalan mengenai ketepatan dokumentasi perdagangan dan pergerakan sebenar kargo petroleum di pelabuhan berkenaan.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenai hasil siasatan atau pertuduhan terhadap mana-mana individu atau syarikat berhubung dakwaan tersebut.

