
SHAH ALAM: Skim Insurans Am Selangor (INSAN) yang heboh diperkatakan sejak semalam tidak ada kena mengena dengan keuntungan atau dana pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.
Menyifatkan ia sebagai tuduhan berniat jahat, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia sebaliknya membabitkan suatu inisiatif Kerajaan Selangor yang dibuat secara pra pendaftaran.
“Soalan itu berniat jahat dan tidak ada kaitan langsung dengan pilihan raya. Itu saya boleh sahkan 100 peratus atau 120 peratus.
“Yang kedua, apa yang berlaku ialah pra pendaftaran dengan kita berhubung dengan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) supaya SPR boleh mengumpul data.
“Sebenarnya data itu adalah data awam yang boleh dibeli, iaitu maklumat dan kita daftarkan sebagai pra pendaftaran,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), di sini, hari ini.
Amirudin berkata, kerajaan negeri mengambil langkah menggunakan kaedah pra pendaftaran bagi mengurangkan beban kerja dan tempoh lama untuk mendaftarkan kira-kira 6 juta rakyat Selangor kepada sistem berkenaan.
Beliau berkata, rakyat Selangor yang didaftarkan masih boleh membuat pilihan sama ada meneruskan skim perlindungan itu atau sebaliknya.
Katanya, untuk terus dilindungi melalui INSAN, mereka perlu mengesahkan dengan menggunakan gambar swafoto atau gambar kad pengenalan atau sebarang pengenalan diri lain.
“Sebaik mereka mengesahkan (maklumat berkenaan) mereka termaktub dan terangkum dalam sistem tersebut.
“Perkara ini sudah dibentangkan oleh Exco sebelum ini Datuk Teng (Datuk Teng Chang Khim) pada mesyuarat Exco.
“Kita dah berhubung dengan SPR dan SPR sebutkan apa yang ada dalam daftar pemilih itu boleh digunakan dan kita ambil ikut tahap umur tertentu. Keuntungan, dana pilihan raya ini adalah tuduhan berniat jahat,” katanya.
Bagi mengelakkan data peribadi berkenaan boleh dicerobohi dan dicuri pihak lain, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan perketatkan keselamatannya supaya ia tidak mudah diakses termasuk kepada data yang digunakan untuk pra pendaftaran.
“Kalau tak minat, tak perlu aktifkan dan ada proses untuk deactivation,” katanya.
Sementara itu, Amirudin juga meminta mereka yang membuat dakwaan terhadap kerajaan negeri berhubung skim berkenaan untuk menerangkan bagaimana orang awam boleh mempunyai akses terhadap polisi perlindungan yang belum sempurna itu.
Beliau berkata, polisi berkenaan sepatutnya akan diserahkan kepada penerima yang didaftarkan.
Sebelum ini, skim INSAN heboh diperkatakan di media sosial selepas didakwa mengandungi data peribadi pengundi dan penduduk di Selangor selain ada individu yang sudah meninggal dunia yang turut didaftarkan. – Getaran, 23 Ogos 2023

