
Dakwaan Kluster Kanser Di PPUM: Tiada Pelanggaran Keselamatan Sinaran Kritikal
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini menafikan dakwaan kewujudan kluster kanser di Unit Perubatan Nuklear, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas siasatan mendapati tiada pelanggaran keselamatan sinaran yang kritikal.
Menurut kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Facebook, MOSTI melalui Jabatan Tenaga Atom memaklumkan bahawa siasatan telah dijalankan oleh Bahagian Kawal Selia Radiasi Perubatan (BKRP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Hasil siasatan KKM telah menunjukkan bahawa tiada isu pematuhan keselamatan sinaran yang kritikal yang boleh dikaitkan dengan dakwaan kewujudan kluster kanser di unit berkenaan,” kata kenyataan itu lagi.
MOSTI menjelaskan bahawa kawal selia bahan radioaktif dan nuklear di Malaysia tertakluk kepada Akta Tenaga Atom 1984 (Akta 304) serta Akta Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025 (A1779).
Bagi penggunaan perubatan, pengawasan turut melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Dalam masa sama, Atom Malaysia dan BKRP memberi jaminan bahawa keselamatan pekerja serta orang awam sentiasa menjadi keutamaan.
"Tindakan tegas seperti dalam ketetapan Akta 304 akan diambil terhadap mana-mana orang atau pemegang lesen yang tidak mematuhi Akta 304, peraturan dan syarat lesen," ujar MOSTI.

