Dakwaan Komplot Guling Kerajaan Tidak Benar, MCA Sokong Kerajaan Perpaduan

Politics
24 Apr 2023 • 8:34 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Wee Ka Siong - Gambar fail

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menegaskan parti itu memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan, malah akan melaksanakan peranannya dalam memperkukuh ekonomi dan perkara berkaitan kepentingan rakyat.

Katanya, ia berbeza dengan laporan sebuah portal berbahasa Inggeris kononnya terdapat usaha daripada pihak parti itu, termasuk membabitkan dirinya untuk menjatuhkan pentadbiran pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, artikel itu mengandungi kenyataan didakwa diberikan sumber dan dakwaan tanpa nama yang disifatkan beliau sebagai tidak berasas

image is not available
Wee Ka Siong berkata keutamaan sekarang ialah menyokong dasar dan strategi ke arah pemulihan ekonomi negara melalui kestabilan politik mengikut kehendak rakyat pada PRU15.

“Hari ini, sebuah portal berbahasa Inggeris melaporkan satu berita yang agak mendebarkan, konon beritanya menyebut bahawa saya terlibat dalam satu komplot.

“Portal ini bersandarkan kepada berita dan sumber maklumat tidak berasas yang tidak sebut namanya, sumbernya, jadi tiba-tiba dikatakan ada satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bagi saya sesiapa sahaja orang luar, mereka boleh tulis ikut citarasa mereka, ikut khabar angin, tapi bagi saya selaku Presiden MCA, saya memandang berat perkara ini,” katanya menerusi video dikongsikan di Facebook.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, sebenarnya, ia perlu menunjukkan bukti bagaimana penglibatan dimaksudkan terbabit di saat pihaknya sendiri tidak tahu ada usaha atau percubaan berkenaan.

image is not available
Wee Jeck Seng - Gambar fail

Malah, beliau mempersoalkan bagaimana namanya dan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng termasuk dalam dakwaan itu.

“Kami pun tidak terlibat, kami pun tidak tahu menahu dan apakah logiknya, kita nak menyokong Ahli Parlimen yang sudah menang, sudah dipilih rakyat, kemudian kita buat satu percubaan untuk kita memaksa satu PRK (Pilihan Raya Kecil) atau suruh orang itu letak jawatan untuk membolehkan PRK diadakan.

“Di mana logiknya, kami tidak akan sokong. Parti kita, keutamaan kita adalah untuk kita menyelamatkan ekonomi, soal kepentingan rakyat yang patut kita perjuangkan.

“Kita memastikan apa juga usaha baik untuk disokong, apa kurang baik kita akan kenalpasti macam mana kita nak menambah baik usaha kita dan kita memantau, kita ada semak dan imbang supaya ia akan memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.

Awal hari ini, The Vibes menyiarkan artikel berhubung usaha pembangkang untuk menggulingkan kerajaan secara paksa.

Khabarnya, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dipujuk individu penting untuk meninggalkan kesetiaan mereta kepada parti dengan mengorbankan kerusi dimenangi.

Memetik sumber, ia mendedahkan sekurang-kurangnya 12 Ahli Parlimen BN menjadi sasaran dalam konspirasi untuk menggulingkan Kerajaan Perpaduan. – The Vibes, 24 April 2023