Dakwaan lupus aset TH RM860.3j: Jamil Khir ambil tindakan batal pertuduhan, jejak akaun media sosial undang subjudis

LocalPolitics
5 Nov 2026 • 3:15 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Dakwaan lupus aset TH RM860.3j: Jamil Khir ambil tindakan batal pertuduhan, jejak akaun media sosial undang subjudis

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom bertindak mencabar keabsahan tiga pertuduhan jenayah berhubung dakwaan pelupusan aset Lembaga Tabung Haji (TH) bernilai RM860.3 juta yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen di sini.

Pihak pembelaan menegaskan mereka sedang mempersiapkan beberapa siri permohonan rasmi untuk menggugurkan kes berkenaan sebaik selesai meneliti keseluruhan dokumen yang dikemukakan pendakwaan.

Peguam Datuk Hamidi Mohd Noh yang mewakili Jamil Khir, 65, mendedahkan perkara itu dalam prosiding sebutan di hadapan Hakim Rosli Ahmad hari ini.

"Kami akan memfailkan beberapa permohonan termasuk berkaitan pasport selepas meneliti dokumen yang diserahkan oleh pihak pendakwaan," kata Hamidi di hadapan mahkamah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip memaklumkan bahawa satu jilid dokumen telah diserahkan kepada pihak pembelaan, namun pihaknya masih memerlukan masa tambahan untuk melengkapkan baki dokumen transaksi perbankan.

Dalam prosiding sama, pihak pembelaan turut melepaskan amaran keras terhadap gelombang komen di platform media sosial yang didakwa cuba menjatuhkan hukuman awal serta boleh menjejaskan keadilan perbicaraan.

"Kes ini telah dibawa dan sedang dibicarakan di mahkamah. Dalam media sosial dan kalangan orang awam, mereka perlu faham bahawa apa-apa keputusan perlu datang daripada mahkamah dan bukan daripada media sosial," tegas Hamidi.

Beliau menambah, tindakan tegas menanti mana-mana pihak yang didapati melanggar batas perundangan:

"Pihak kami telah mengidentifikasi akaun yang berpotensi untuk dibawa ke mahkamah untuk dirujuk kepada perkara subjudis yang boleh membawa kepada prosiding penghinaan mahkamah."

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Rosli menetapkan 14 Januari depan bagi tarikh sebutan semula kes serta penyerahan dokumen lanjut.

Pada 14 September lalu, Jamil Khir didakwa atas tiga pertuduhan secara tidak jujur menyebabkan Lembaga TH melupuskan dananya berjumlah RM42,942,074 (SAR44.170 juta), RM288,172,134.64 (SAR250,041,622), dan RM529,194,561.87 (SAR471,848,615) kepada syarikat pemaju hartanah Arab Saudi, Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd (Al-Rawda).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Putrajaya antara 3 April 2015, 14 Disember 2016, dan 17 Ogos 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan, serta denda sekiranya disabitkan kesalahan. - 5 November, 2026

The post Dakwaan lupus aset TH RM860.3j: Jamil Khir ambil tindakan batal pertuduhan, jejak akaun media sosial undang subjudis appeared first on Scoop.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved