PUTRAJAYA – Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dipaksa menandatangani surat cara proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan berhubung perkara itu masih dalam proses dan sebarang perkembangan akan dikongsikan kepada media.
“Kertas siasatan dah dibuka dan masih lagi dalam progres. Kalau ada kemajuan, seperti biasa kita akan kongsi dengan rakan media,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, pada Isnin.
Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail.
Sebelum ini, Ismail mendakwa Surat Cara Proklamasi berkenaan ditandatangani tanpa kerelaannya dan secara paksaan.
Beliau turut membuat laporan polis kira-kira jam 6 petang pada 8 September lalu bagi membolehkan siasatan dijalankan pihak berkuasa.
Dakwaan berkenaan tercetus selepas dokumen Surat Cara Proklamasi yang dikaitkan dengan penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, tular pada hari sama.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz sebelum ini mendakwa tiada paksaan atau tekanan diberikan terhadap Ismail ketika dokumen itu ditandatangani pada 3 Ogos lalu.
Peguam berkenaan mendakwa Ismail telah diberikan penjelasan mengenai dokumen tersebut sebelum menandatanganinya dengan kehadiran peguam beliau, Datuk Abu Bakar Isa Rahmat.






