KUANTAN – Dakwaan berlaku aktiviti pembalakan haram di Bentong seperti yang tular menerusi sebuah video di media sosial disahkan tidak benar.
Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dalam satu kenyataan mengesahkan penebangan pokok dalam video itu bukan pembalakan haram, sebaliknya dijalankan di atas tanah berstatus hak milik persendirian yang terletak di luar kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).
Kenyataan itu menjelaskan, kawasan terbabit merangkumi lima lot tanah hak milik yang telah mendapat kelulusan pihak berkuasa bagi tujuan pembangunan projek pertanian.
"Projek tersebut dilaksanakan dengan kerjasama RISDA sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan dan pengurusan tanah yang memberi manfaat kepada pemilik tanah serta pembangunan sektor pertanian setempat.
"Sehubungan itu, kerja-kerja penebangan pokok di lokasi terbabit adalah sebahagian daripada proses penyediaan tapak bagi projek yang telah diluluskan secara sah, dan bukannya aktiviti pembalakan haram seperti yang ditularkan," katanya.
JPNP turut menegaskan bahawa pihaknya sentiasa komited dalam memastikan sebarang aktiviti pembangunan dan guna tanah dilaksanakan dengan mematuhi sepenuhnya peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa, di samping memastikan kelestarian alam sekitar terus dipelihara.
Justeru, katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahihkan.
"Tindakan sedemikian hanya akan menimbulkan salah faham dan keresahan dalam kalangan masyarakat.
"JPNP sentiasa mengalu-alukan maklumat rasmi daripada orang awam dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya wujud sebarang pelanggaran undang-undang yang tertakluk di bawah akta dan enakmen perhutanan di negeri ini," menurut kenyataan terbabit.


