SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan dakwaan kononnya kerajaan negeri meluluskan pembangunan di kawasan berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab sebagai tidak berasas.
Beliau berkata, perkara itu dijelaskan dalam satu pertemuan bersama wakil 14 persatuan penduduk di Puchong yang hadir bagi mendapatkan penjelasan berhubung status tanah seluas 67.2 hektar di Permatang Kumbang, Pusat Bandar Puchong.
Menurutnya, sesi itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han bagi mendengar pandangan serta maklum balas penduduk susulan penyebaran maklumat palsu.
"Antara dakwaan dimainkan adalah kawasan itu merupakan hutan simpan yang dinyahwarta, kerajaan negeri sudah meluluskan pembangunan serta tanah dijual di bawah harga pasaran.
"Dua daripada tiga isu ini sudah dijelaskan sejak Disember tahun lalu, namun masih diulang bagi meraih sokongan politik murahan sehingga menimbulkan keresahan penduduk," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Amirudin berkata, tanah berkenaan bukan kawasan Hutan Simpan Kekal kerana telah dinyahwarta sejak tahun 1926 iaitu kira-kira 100 tahun lalu ketika era pentadbiran British.
Mengulas isu pembangunan, beliau menegaskan, pentadbiran negeri tidak pernah meluluskan sebarang projek di kawasan itu.
Sebaliknya, beliau memberitahu, pada 1996 tanah berkenaan pernah diberi milik kepada dua syarikat bagi tujuan perumahan kos rendah.
Bagaimanapun, ujar beliau, permohonan kebenaran merancang ditolak pihak berkuasa tempatan pada 2003 kerana 75 peratus kawasan itu berada di cerun Kelas III dan IV yang tidak sesuai dibangunkan.
"Kerajaan negeri kemudian membatalkan projek itu pada 2010 dan menarik semula pemberimilikan tanah.
"Keputusan itu dicabar di mahkamah, namun Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan memihak kepada pihak berkuasa tempatan yang menolak pembangunan atas faktor keselamatan cerun," jelas beliau.
Beliau turut menafikan dakwaan tanah itu dijual di bawah harga pasaran, sebaliknya melalui proses tender terbuka pada 2012 dengan nilai RM101 juta iaitu lebih tinggi daripada harga penilaian RM95.3 juta.
Menurutnya, pembayaran dibuat secara berfasa sehingga 2020 susulan proses mahkamah yang berlarutan.
"Secara keseluruhan, pendirian kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) kekal bahawa kawasan ini tidak selamat untuk pembangunan komersial atau perumahan kerana faktor topografi cerun.
"Keputusan ini juga disahkan oleh Mahkamah Persekutuan," tambah beliau.
Dalam masa sama, Amirudin berkata, penduduk mencadangkan laluan mendaki ke Hutan Simpan Ayer Hitam dikekalkan untuk kegunaan komuniti.
Katanya, cadangan itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) serta dirunding dengan pemilik tanah bagi memastikan keperluan riadah penduduk setempat terus dipelihara.
