Dakwaan Rasuah Setiausaha Politik Kanan, SPRM Mulakan Siasatan

LocalPolitics
26 Nov 2025 • 4:07 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan berhubung dakwaan bahawa ahli perniagaan Albert Tei memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kedua-dua individu berkenaan akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberi keterangan.

“Selain itu, SPRM juga akan memanggil semua pihak yang terlibat bagi tujuan mengumpul bukti yang diperlukan. Justeru, orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara ini,” katanya.

image is not available
Azam Baki

Dakwaan tersebut timbul susulan laporan sebuah portal berita tempatan yang memetik kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Rafizi menerusi laporan tersebut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Shamsul Iskandar mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan itu.

Seruan itu dibuat selepas timbul dakwaan bahawa Shamsul Iskandar telah menerima wang daripada Tei bagi tujuan mendapatkan lesen perlombongan.

Semalam, Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan Anwar.

Katanya, wujud cubaan untuk menyerang dirinya secara peribadi demi merosakkan imej kerajaan Madani.

Bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu dilantik ke jawatan tersebut pada 23 Disember 2022. - Getaran, 26 November 2025