
RANAU: Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) menggesa parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) membuat laporan polis untuk menafikan dakwaan rasuah yang dibuat terhadap pemimpinnya.
Tuduhan itu dilaporkan oleh sebuah portal berita tempatan dan turut mengaitkan beberapa ahli politik kanan negeri ini dengan skandal perlombongan.
Presiden Anak Negeri Datuk Henrynus Amin berkata, tindakan pantas dan telus diperlukan untuk melindungi kepercayaan awam.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Beberapa individu yang dinamakan dalam skandal mineral ini sudah mengeluarkan penafian.
“Bagaimanapun, membuat penafian semata-mata atau menyalahkan pihak lain tidak akan cukup untuk meyakinkan pengundi.
“Oleh itu, kami mencabar kepimpinan Star dan PBS untuk segera membuat laporan polis terhadap portal berita yang melaporkan dakwaan ini,” kata Henrynus dalam satu kenyataan.
Beliau menekankan laporan itu bukan sekadar untuk menafikan dakwaan tetapi ia juga mengenai dedikasi sebenar terhadap akauntabiliti dan membenarkan siasatan menyeluruh serta tidak berat sebelah melalui saluran rasmi.
Katanya, adalah perkara biasa bagi isu-isu lalu untuk timbul menjelang pilihan raya, dengan pilihan raya negeri ke-17 (PRN17) Sabah dijangka diadakan menjelang hujung tahun ini.
Henrynus menambah, adalah penting bagi parti terbabit untuk menangani tuduhan secara langsung dan membersihkan nama mereka dan bukannya sekadar mengeluarkan kenyataan menolak dakwaan.
Sebelum ini, Star menafikan dakwaan Presidennya Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menerima RM1.78 juta berkaitan skandal perlombongan seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita baru-baru ini.
Jurucakap Star memberitahu tuduhan berkenaan adalah palsu, tidak berasas dan bermotif politik untuk mencemarkan reputasi serta menggugat kestabilan kerajaan Sabah.
Menurutnya, Jeffrey tidak pernah menerima sebarang dana berkaitan permohonan perlombongan mahupun terlibat dalam sebarang skandal seperti yang didakwa.
Dalam perkembangan sama, Henrynus berkata ada desakan untuk menghentikan semua lesen cari gali dan perlombongan sehingga dakwaan ini disiasat sepenuhnya.
Terdapat juga desakan kuat agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan penglibatan “syarikat-syarikat proksi” yang dikaitkan dengan pemimpin politik yang memohon lesen cari gali atau melombong mineral.
“Pengundi berhak mendapat pemimpin politik yang tidak boleh dicela. Masa untuk mengelak atau memberi alasan remeh telah berakhir.
“Pemimpin Star dan PBS mesti mengambil tindakan tegas untuk membuktikan mereka tidak bersalah demi menegakkan prinsip tadbir urus yang baik.
“Kesediaan mereka untuk menghadapi siasatan akan menjadi satu-satunya ukuran sebenar komitmen mereka terhadap ketelusan dan penghormatan terhadap proses demokrasi,” katanya.
