Dakwaan salah guna aset kerajaan tidak benar - Kamil Munim

LocalPolitics
20 Jul 2026 • 3:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dakwaan salah guna aset kerajaan tidak benar - Kamil Munim
Muhammad Kamil

KOTA BHARU – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim tampil menafikan dakwaan salah guna aset kerajaan ketika lawatan ke Kelantan.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan itu sebaliknya menjelaskan kehadiran dirinya bertujuan melaksanakan tugas rasmi bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada April lalu.

“Saya ditugaskan untuk menemani Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menghadiri beberapa acara di negeri Kelantan.

“Antaranya Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, majlis ramah mesra bersama masyarakat setempat di sebuah masjid Gong Chapa dan Konvensyen Parti Keadilan Rakyat yang diadakan di Kota Bharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas dakwaan yang sebelum ini tular di media sosial mengaitkan beliau dan Penasihat Kanan Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz didakwa salah guna jet rasmi kerajaan bagi tujuan politik serta peribadi.

Kamil menegaskan, beliau hanya menjalankan tanggungjawab dalam kapasiti sebagai Setiausaha Politik dan tidak menggunakan kemudahan kerajaan untuk kepentingan peribadi.

“Bukan saya yang guna, saya ni cuma ikut Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas kapasiti saya sebagai Setiausaha Politik dalam menjalankan tugas saya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna media sosial supaya lebih berhati-hati menerima sesuatu maklumat kerana terdapat pihak yang didakwa mengolah sesuatu perkara dan memutar belit fakta.

“Semua di luar sana, para netizen dan TikTokers kena berhati-hati. Dalam zaman teknologi ini, orang sering menyebabkan sesuatu perkara menjadi lain, mengolah cerita dengan tujuan dan kepentingan tertentu.

“Dalam hal ini, khusus untuk menyerang saya secara peribadi dengan menggambarkan seolah-olah saya menyalahgunakan aset kerajaan,” katanya.

Kamil berkata, orang ramai perlu menyemak serta meneliti sesuatu maklumat sebelum mempercayainya, terutama apabila ia berkaitan isu politik.

“Seperti pesanan al-Quran tentang bahaya fitnah, kesannya amat besar. Sebelum kita menerima sesuatu berita atau kenyataan, siasat dan teliti dahulu.

“Apatah lagi sekarang ini musim pilihan raya,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved