Dakwaan terima RM9.5 juta: 'Bukan saya' - Rafizi

LocalPolitics
25 Mar 2026 • 11:31 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli

PUTRAJAYA – “Bukan saya.” Itu reaksi ringkas Rafizi Ramli di tengah kekecohan dakwaan ahli perniagaan Victor Chin mengenai penyerahan RM9.5 juta daripada RM10 juta yang didakwa diminta seorang Ahli Parlimen PKR sebagai penyelesaian isu skandal mafia korporat.

Menerusi hantaran di laman Facebook, bekas Timbalan Presiden PKR itu berseloroh bahawa beliau ‘menerima’ pertambahan lemak badan gara-gara sambutan Aidilfitri, bukannya wang tunai seperti didakwa.

“Tapi sebab masih mood raya, saya komen esok saja lah,” katanya.

Sebelum ini, Victor atau nama sebenarnya Chin Boon Loong dalam dokumen setebal 40 muka surat memperincikan kronologi seorang Ahli Parlimen PKR yang meminta RM10 juta untuk menyelesaikan isu mafia korporat, namun beliau hanya mampu menyediakan RM9.5 juta pada peringkat awal.

Menurutnya, baki RM500,000 tidak pernah diserahkan kerana isu berkenaan tidak diselesaikan seperti dijanjikan.

Dakwaan mafia korporat berkisar mengenai bahawa pegawai kanan SPRM mengatur kempen intimidasi, memberi tekanan kepada eksekutif dan pemegang saham syarikat awam yang tersenarai untuk meletak jawatan atau menjual saham mereka pada harga diskaun yang tinggi kepada rangkaian ahli perniagaan yang mempunyai hubungan.

SPRM menerusi satu kenyataan semalam menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai percubaan untuk mencemarkan kredibiliti siasatan dan tindakan penguatkuasaan terhadap pihak tertentu dalam sektor korporat.

Badan pencegah rasuah itu menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak berasas dan dipercayai berasal dari sebuah blog dalam talian tanpa pemilik, pengarang atau akauntabiliti yang jelas.

Pada 16 Mac lalu, polis mengesahkan telah menyerbu beberapa premis milik tokoh korporat, Victor di sekitar Kemensah dan Sungai Long, Kajang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, serbuan bersama Suruhanjaya Sekuriti (SC) itu dilaksanakan bagi membantu siasatan kes di bawah AMLA.

Dalam satu lagi kenyataan berbeza, Victor mengulangi rayuannya kepada Mohd Khalid untuk membongkar kebenaran di sebalik dakwaan skandal mafia korporat.