
SHAH ALAM - Dakwaan terdapat sesetengah sekolah yang bertindak menutup kelas aliran sains tulen semata-mata mahu meningkatkan Gred Purata Sekolah (GPS) perlu dipastikan kesahihannya kerana ia dikhuatiri akan mengagalkan agenda dan aspirasi negara jika dibiarkan.
Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, ini belum lagi mengambil kira yang akan gagal di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) dan ada antara mereka mengambil keputusan menukar bidang pengajian ke aliran sastera.
Menurutnya, sedangkan graduan sains itu sebahagiannya akan menjadi doktor, jurutera, pensyarah, ahli sains, ahli farmasi atau bioteknologis.
"Berapa lagi yang tinggal untuk menjadi guna tenaga berkemahiran tinggi dalam sektor teknologi termaju, robotik, digital, semi konduktor, kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya?
"Semakin banyak syarikat luar melabur, semakin ramai tenaga mahir diperlukan. Kalau anak-anak tempatan tak cukup, terpaksalah pelabur jemput pekerja luar negara yang berkemahiran tinggi untuk bekerja di negara ini.
"Oleh itu, apakah benar tutup kelas aliran sains tulen untuk tingkatkan GPS? Saya hanya mahukan kepastian," katanya menerusi laman Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, terdapat netizen meninggalkan komen di hantaran Facebook Anuar yang menimbulkan isu kebolehpasaran pasca Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedangkan terdapat sekolah menutup aliran sains tulen dan digantikan dengan pakej sastera demi mengejar GPS.
Anuar turut mempersoalkan sama ada Malaysia bersedia atau tidak untuk menjadi negara berteknologi tinggi.
Katanya, daripada 402,918 calon SPM 2024 hanya 91,510 atau 22.7 peratus yang mengambil subjek fizik, 92,282 (22.9 peratus) kimia dan 71,533 (17.7 peratus) biologi.
"Sejak tiga tahun lalu, trend yang sama sahaja. Keputusan SPM untuk mata pelajaran fizik menunjukkan 14,184 (15.5 peratus) mendapat gred rendah iaitu D,E dan G.
"Bagi SPM untuk mata pelajaran kimia, 27,184 (29.7 peratus) mendapat gred D,E dan G manakala bagi SPM mata pelajaran biologi, seramai 13,948 (19.5% peratus) mendapat gred D,E dan G.
"Gred kelayakan minima untuk masuk ke jurusan sains dan teknologi di IPT ialah gred C. Maksudnya, bagi mereka yang mendapat gred D, E dan G, secara langsung tidak layak untuk dipertimbangkan,"ulasnya.


![“Tak Ada Makcik Kantin” – Lelaki Kongsi Sistem Program Makan Tengah Hari Sekolah Rendah Di Jepun [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/family-and-parenting.jpeg)