Dakwat Kekal Boleh Hilang Guna Dua Cara Ni, Bahan Mudah Kat Rumah Je

20 Nov 2022 • 5:44 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

19 November 2022 merupakan tarikh yang akan diingati oleh rakyat Malaysia kerana ia berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di mana rakyat memilih parti politik untuk membentuk sebuah kerajaan baharu yang bakal ‘mengendong’ mandat mereka.

Usai mengundi, rakyat pastinya mempunyai dakwat kekal pada jari telunjuk kiri menunjukkan mereka telah menjalankan tanggungjawab memilih pemimpin baharu. Difahamkan, dakwat itu dipercayai kekal hingga berminggu-minggu disebabkan teksturnya seperti inai yang akan bertahan lama walaupun dibasuh menggunakan air.

Namun, tidak salah untuk pengundi menghilangkan dakwat itu dengan cara yang betul. Untuk itu, ikuti perkongsian daripada Hello Doktor yang tertera di bawah ini mengenai dua cara mudah yang diperlukan untuk menghilangkan dakwat kekal itu.

Jangan Lupa Buat 2 Petua Ini Untuk Hilangkan Dakwat Kekal Pada Jari Selepas Mengundi!

image is not available
Kredit: Hello Doktor

Apabila telah selesai mengundi, jari yang dicelup dalam dakwat kekal ketika proses mengundi akan menjadi semakin gelap. Semakin lama dibiarkan, ia akan menjadi lebih gelap dan jari mula akan sedikit mengecut. Anda tahu cara hilangkan dakwat mengundi di jari? Kami kongsikan dua tip yang boleh anda buat di rumah.

Apa fungsi dakwat kekal ketika pilihan raya?

image is not available
Kredit: Hello Doktor

Dakwat kekal merupakan sejenis dakwat atau bahan pencelup yang digunakan pada jari pengundi sewaktu sesebuah pilihan raya dijalankan.

Ia bertujuan mengelakkan sebarang kejadian penipuan dilakukan ketika proses undian dijalankan.

Antaranya ialah seperti pengundian lebih daripada satu kali atau pengundian oleh mereka yang bukan warganegara atau tidak sah mengundi.

Dakwat kekal ini biasanya mengambil masa yang agak lama untuk hilang daripada jari kerana sifatnya yang ‘kekal’ pada kulit.

Untuk dakwat yang melekat pada kuku, ia akan mengambil masa yang lebih lama untuk hilang atau luntur.

Penggunaan dakwat kekal dalam proses pilihan raya bukanlah satu perkara yang baharu.

Ia telah dijalankan di beberapa negara lain seperti Indonesia, Filipina, India dan juga Mali.

Cara hilangkan dakwat mengundi di jari anda

Ramai yang berkongsi cara dan kaedah untuk menanggalkan warna dakwat kekal daripada jari dengan cepat.

Kami kongsikan kepada anda dua cara hilangkan dakwat mengundi yang paling berkesan dan paling banyak dikongsikan di media sosial.

Ini caranya:

#1. Cara hilangkan dakwat mengundi: Guna peluntur dan buah lemon

image is not available
Kredit: Hello Doktor

Kaedah pertama ini merupakan cara yang paling berkesan.

Bahan-bahan yang diperlukan adalah:

  • Cecair peluntur
  • Buah lemon
  • Krim pelembap
  • Air suam

Cara penyediaan:

  1. Campurkan cecair peluntur bersama air suam dalam bekas atau besen. Kacau sehingga sebati.
  2. Kemudian, masukkan jari telunjuk yang dicelup dakwat kekal ke dalam larutan tersebut. Biarkan sekurang-kurangnya 30 saat.
  3. Setelah itu, keluarkan jari dan gosok potongan buah lemon pada jari anda.
  4. Anda boleh menggosok potongan lemon ini sambil membilasnya.
  5. Buat berkali-kali sehinggalah warna dakwat mulai pudar.
  6. Setelah itu, sapukan krim pelembap pada jari anda kerana asid daripada cecair peluntur dan buah lemon membuatkan kulit menjadi kering.

#2. Cara hilangkan dakwat mengundi: Guna peluntur dan losyen

image is not available
Kredit: Hello Doktor

Untuk cara kedua ini pula, ia lebih kurang sama sahaja dengan kaedah pertama. Namun, ada beberapa bahan yang sedikit berbeza.

Apa yang anda perlukan adalah seperti berikut:

  • Satu penutup cecair peluntur
  • Losyen badan
  • Kain atau tisu basah
  • Mangkuk kecil

Cara penyediaan:

  1. Tuangkan peluntur dalam mangkuk dan rendamkan jari yang dicelup dakwat kekal ke dalam mangkuk tersebut.
  2. Rendam selama 30 saat dan cuba gosok sedikit dengan menggunakan kain atau tisu basah.
  3. Setelah itu, bilas dengan air paip dan sapukan losyen pelembap bagi mengelakkan kulit kering.

Perhatian!

Kedua-dua cara yang dikongsikan ini tidak akan menanggalkan warna dakwat kekal secara keseluruhan. Namun, ia boleh membantu mengurangkan sedikit warna gelap pada jari akibat dakwat tesebut.

Bagaimana untuk mereka yang mempunyai masalah kulit?

Bagi sesiapa yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan kulit seperti kulit sensitif, kaedah-kaedah di atas ini tidak disarankan untuk dicuba.

Ini kerana cecair peluntur mempunyai sifat menghakis yang tinggi dan ia boleh merosakkan atau memburukkan lagi keadaan kulit anda.

Anda boleh cuba dengan menggunakan sabun mandian biasa atau biarkan sahaja sehinggalah ia hilang dengan sendirinya.

Kesimpulan

Kini anda telah tahu cara hilangkan cap jari mengundi. Anda boleh cuba lakukan petua-petua di atas selepas ini.

Namun ingat, elak daripada menghilangkan dakwat tersebut sejurus anda selesai mengundi.

Sebaiknya, hanya hilangkannya selepas proses mengundi berakhir iaitu sekitar pukul 5 petang hari yang sama.

Ia sebagai bukti bahawa anda telah menunaikan tanggungjawab mengundi dan sebagai kenangan penglibatan anda dalam proses demokrasi yang hanya berlaku 5 tahun sekali.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber: Hello Doktor