Daley Blind berhijrah ke Bayern secara percuma

Football
6 Jan 2023 • 12:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Blind berhijrah ke Bayern dari Ajax Amsterdam dengan kontrak selama enam bulan. - Foto Agensi

BAYERN Munich berbesar hati menerima kehadiran pertahanan Belanda, Daley Blind menerusi perpindahan percuma dengan kontrak selama enam bulan.

Pengesahan penghijrahan itu dibuat oleh kelab Bundesliga tersebut pada Jumaat.

Pemain berusia 32 tahun itu menjadi ejen bebas minggu lepas selepas mencapai persetujuan menamatkan kontraknya dengan Ajax Amsterdam enam bulan lebih awal.

“Kami berbesar hati Daley (Blind) menyertai kami,” ujar pengarah sukan Bayern, Hasan Salihamidzic.

“Daley pertahanan serba boleh yang mampu beraksi di bahagian kiri, kanan dan tengah. Dia mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa selain memiliki kualiti kepimpinan,” ujar Salihamidzic.

Dalam pada itu, Blind memberitahu, peluang menjulang gelaran menjadi faktor utama dia memilih Bayern.

“Saya tidak sabar lagi untuk beraksi di sini. Kami akan mengharungi tempoh paling penting musim ini, ia boleh menjadi penentu kejuaraan dan kelab seperti Bayern mampu memenangi segala trofi.

“Kelab yang dahagakan gelaran ini merupakan kunci dalam keputusan saya. Saya harap mampu menggunakan pengalaman yang ada bagi membantu pasukan. Saya akan mencurahkan segala-galanya buat Bayern,” ujar Blind.

Blind yang membantu Belanda mara ke suku akhir Piala Dunia di Qatar tahun lalu meraih tujuh gelaran bersama Ajax, membuat 333 penampilan, menjaringkan 13 gol dan mencipta 21 bantuan jaringan.

Dia turut menjuarai Liga Europa 2017 ketika beraksi dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United.

Juara Jerman, Bayern yang mendahului carta Bundesliga meneruskan kempen mereka dengan menentang RB Leipzig pada 20 Januari.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved