
Dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan dan kaki bukan penghalang buat Nur Damia Irsalina Daeng Malis, 19, untuk mengejar cita-citanya menjadi seorang pereka dalaman.
Kini, Damia hampir menamatkan pengajian Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap tiga dalam kursus Pelukis Kanan Rekaan Dalaman di Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC).
Minat Damia terhadap bidang berkenaan sebenarnya sudah bermula sejak di bangku sekolah apabila dia mengikuti Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) dalam bidang berkaitan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Telemong.
Menerusi program itu, Damia berjaya memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap dua sebelum menyambung pengajian ke tahap tiga di TTITC.
Menurutnya, pengalaman mengikuti pengajian di kedua-dua institusi itu menguatkan lagi minatnya untuk mendalami bidang reka bentuk dalaman.
“Banyak yang saya belajar di sini dan kursus reka bentuk dalaman ini memang saya minat dari dulu, jadi bukan sesuatu yang sukar untuk saya.
“Cuma agak susah ketika menjawab soalan peperiksaan kerana saya mengalami kesukaran untuk menulis tetapi akan ada yang membantu saya.
“Untuk menggunakan tetikus pula, pada awalnya memang sukar tetapi sekarang saya sudah dapat menguasainya,” katanya ketika ditemui di TTITC.
Katanya, pengalaman mengikuti pengajian di TTITC turut mengajarnya untuk lebih yakin menggunakan kemahiran yang ada bagi menyiapkan tugasan.
“Saya bersyukur kerana tenaga pengajar di sini banyak membantu saya dan kawan-kawan juga sangat membantu apabila saya menghadapi kesukaran.
“Mereka bukan sahaja membantu dalam pembelajaran tetapi turut memberi sokongan kepada saya sepanjang berada di sini,” katanya.

Damia berkata, selepas menamatkan latihan industri kelak, dia berhasrat menyambung pengajian ke peringkat diploma di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Rembau, Negeri Sembilan.
Katanya, dia mahu terus mendalami bidang reka bentuk dalaman yang diminatinya, dan tidak berhasrat berhenti setakat memperoleh SKM tahap tiga.
“Saya mahu terus belajar kerana memang minat bidang ini dan berharap dapat mendalami lagi ilmu serta kemahiran dalam reka bentuk dalaman,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TTITC, Dr. Azman Mohamad berkata, beliau sangat kagum dengan kecekalan Damia yang berjaya mengikuti pengajian sehingga hampir menamatkan SKM tahap tiga.
Menurutnya, Damia menunjukkan perkembangan yang sangat baik sejak mula mengikuti pengajian dan mampu menguasai kemahiran yang ditetapkan dalam kursus berkenaan.
“Damia seorang yang sangat luar biasa dan saya sangat kagum dengan semangat serta kecekalan ditunjukkannya.
“Walaupun mempunyai kekangan fizikal, namun dia tidak pernah menjadikan keadaan itu sebagai alasan untuk mengalah atau tidak belajar,” katanya.
Azman berkata, TTITC sentiasa memberi sokongan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan bantuan untuk mendapatkan pendidikan dan kemahiran.
Menurutnya, pihak institusi tidak mahu golongan berkenaan berasa tersisih atau terkecuali daripada peluang mendapatkan pendidikan sewajarnya.
“Kita mahu mereka mendapat pendidikan secukupnya kerana mereka juga berhak menerima peluang yang sama seperti insan lain.
“Apabila mereka datang kepada kita, kita akan lihat keperluan mereka dan cuba sediakan kemudahan yang bersesuaian supaya mereka dapat mengikuti pembelajaran dengan lebih selesa,” katanya.
Sebagai contoh, TTITC menyediakan laluan khas atau ram bagi memudahkan pergerakan Damia menggunakan kerusi roda untuk ke bilik kuliah.
Menurutnya, kemudahan itu antara usaha pihaknya bagi memastikan Damia dapat mengikuti pembelajaran tanpa berdepan halangan fizikal yang tidak sepatutnya.
“Kita tidak mahu mereka terkecuali hanya disebabkan kekurangan fizikal.
“Mereka juga mempunyai hak untuk menerima pendidikan dan kemahiran yang secukupnya. Jadi, kami akan cuba memberikan sokongan terbaik kepada mereka,” katanya.
Dalam pada itu, pengajar Kursus Rekabentuk Dalaman di TTITC, Ahmad Farhan Abd. Hamid berkata, terdapat perubahan ketara pada Damia sejak hari pertama mengikuti pengajian sehingga kini.
Katanya, pada peringkat awal, Damia memerlukan lebih banyak bimbingan untuk menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran termasuk penggunaan komputer dan tetikus.
“Pada awalnya, dia memerlukan lebih banyak bimbingan tetapi sekarang dia semakin yakin dan mampu melaksanakan tugasan yang diberikan.
“Saya memang puji semangat dia kerana banyak perubahan yang saya lihat daripada hari pertama dia datang sehingga sekarang,” katanya.
Menurut Ahmad Farhan, minat mendalam Damia terhadap bidang reka bentuk dalaman turut menjadi antara faktor yang membantunya menguasai kemahiran itu dengan baik.
“Dia memang mempunyai semangat yang kuat dan saya harap semangat itu akan terus ada apabila dia menjalani latihan industri nanti,” katanya.
Kisah Damia sebelum ini pernah mendapat liputan meluas media tempatan selepas kisahnya yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan dan kaki mendapat perhatian masyarakat.
The post Damia cekal kejar impian, biarpun tanpa tangan, kaki appeared first on Kosmo Online.

