Dana iklim patuh Syariah disokong KWAP raih anugerah antarabangsa dalam pelaburan lestari 

Business & FinanceEnvironment
2 Jul 2026 • 5:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Dana iklim patuh Syariah disokong KWAP raih anugerah antarabangsa dalam pelaburan lestari  Image from: Dana iklim patuh Syariah disokong KWAP raih anugerah antarabangsa dalam pelaburan lestari  amree02/07/2026 - 17:00 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Julai — Dana Infrastruktur Iklim Malaysia (MCIF) yang disokong Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) meraih pengiktirafan antarabangsa dalam bidang pelaburan lestari.

 

Tabungan tersebut diumumkan memenangi anugerah Inovasi Tahunan (Dana dan Portfolio) – APAC pada Environmental Finance Sustainable Investment Awards 2026, berlangsung di The Hague, Belanda.

 

Dana ekuiti persendirian patuh syariah itu memberi tumpuan kepada pembiayaan pelbagai projek perubahan iklim di Malaysia, Asia dan rantau Amerika Latin, dengan diuruskan menerusi CFM Argos.

 

"Ia usaha sama (JV) Climate Fund Managers dan Argos Partners, dengan pengiktirafan itu mengukuhkan peranan Malaysia menerajui kewangan Islam, dan pelaburan mampan," katanya dalam kenyataan bersama.

 

MCIF dibangunkan bagi merapatkan jurang pembiayaan projek infrastruktur iklim di negara membangun sering berdepan kesukaran dana jangka panjang walaupun mempunyai potensi komersial yang tinggi.

 

Panel penilai menyifatkan dana itu berjaya menggabungkan prinsip pelaburan patuh syariah dengan objektif kelestarian, membolehkan ia menarik penyertaan pelabur institusi konvensional dan Islam.

 

Dana itu jelasnya, melabur dalam pelbagai sektor strategik termasuk tenaga boleh diperbaharui (RE), air dan sisa air, pengangkutan rendah karbon serta prasaran digital dengan sasaran tertentu.

 

"Selain itu, MCIF menyasarkan peningkatkan akses infrastruktur berdaya tahan ke atas perubahan iklim kepada hingga satu juta penduduk menerusi pelaburan dalam projek berimpak tinggi," katanya.

 

Sejak mencapai penutupan pertama bernilai RM500 juta pada Mac 2025 dengan KWAP sebagai pelabur utama, dana itu meluluskan pembiayaan kepada tiga projek infrastruktur iklim di pelbagai negara.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif CFM Argos dan Pengarah Pelaburan Climate Fund Managers, Jeb Victorino berkata, MCIF diwujudkan menarik pelaburan institusi ke dalam infrastruktur yang mampan.

 

Sementara itu, Rakan Pengurusan Argos Group merangkap Pengarah Urusan CFM Argos, Abdul Hakeem, berkata anugerah ini membuktikan keberkesanan model pembiayaan dibangunkan program Dana Pemacu.

 

"Ia terbukti memperkasa kepakaran pengurusan tempatan, dan menunjukkan modal patuh syariah mampu digembleng memberi impak positif terhadap pembangunan infrastruktur iklim dunia," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved