Dana Inovasi Media: Dua lagi fasa permohonan dibuka Februari dan Mac

LocalTechnology
24 Jan 2026 • 6:09 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Syarikat dan organisasi media tempatan yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan Malaysia serta memenuhi syarat kelayakan masih berpeluang memohon Dana Inovasi Media, dengan dua lagi fasa permohonan dijadual dibuka pada awal Februari dan Mac.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, berkata inisiatif ini selari dengan hala tuju digital masa depan yang dibincangkan dalam pemukiman Jemaah Menteri pada 10 dan 11 Januari lalu, sekali gus mencerminkan kesinambungan perancangan strategik kerajaan dalam memperkukuh ekosistem media dan komunikasi negara.

Beliau menjelaskan bahawa fasa pertama permohonan yang berlangsung dari 1 hingga 14 Januari telah selesai, namun peluang masih terbuka untuk organisasi media yang layak.

“Dana Inovasi Media telah dibuka kepada umum yang memenuhi syarat kelayakan. Selain fasa pertama yang telah berakhir, dua lagi fasa akan dibuka pada awal Februari dan disusuli fasa ketiga pada awal Mac. Ini bermakna pihak yang terlepas peluang pada fasa pertama masih boleh memohon pada minggu pertama dan kedua bagi Januari, Februari serta Mac masing-masing,” katanya lapor Bernama.

Abdul Halim berkata demikian selepas Mesyuarat Kerja Hala Tuju Strategik Kementerian Komunikasi 2026 yang berlangsung selama tiga hari di sebuah hotel di sini, bermula semalam hingga 25 Januari, sebagai platform memperkukuh penyelarasan serta hala tuju strategik kementerian dan agensi berkaitan.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri, Teo Nie Ching; Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur‑ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj; serta pengurusan tertinggi pelbagai agensi di bawah kementerian termasuk RTM dan FINAS.

Menurut Abdul Halim, kementerian juga meneroka potensi baharu dalam sektor media melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif, termasuk Hari Wartawan Nasional (HAWANA), Dana Inovasi Media dan penubuhan Majlis Media Malaysia.

Pada 18 Disember lalu, Fahmi dilaporkan berkata Dana Inovasi Media Fasa 1 dibuka dari 1 hingga 14 Januari 2026 bagi menyokong transformasi industri media negara supaya kekal relevan, berdaya saing dan berdaya tahan dalam era digital.

Dana itu susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan HAWANA 2025 mengenai pemberian bantuan berjumlah RM30 juta.

Maklumat lanjut serta borang permohonan boleh dimuat turun menerusi laman web www.komunikasi.gov.my mulai 1 Januari 2026. - 24 Januari, 2026

The post Dana Inovasi Media: Dua lagi fasa permohonan dibuka Februari dan Mac appeared first on Scoop.