SHAH ALAM, 4 OKT: Hasrat Selangor menyalurkan dana khas bagi memartabat muzik cempuling dilihat akan merancakkan lagi usaha memperluaskan seni warisan berkenaan ke peringkat lebih tinggi.
EXCO kebudayaan dan warisan menaruh harapan untuk melihat muzik cempuling terus berkembang dengan penubuhan lebih banyak kumpulan sekali gus menjadi identiti dan imej Selangor di masa depan.

“Saya menyambut baik apabila Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan akan ada peruntukan khas untuk muzik cempuling dalam belanjawan akan datang.
“Setakat ini hanya ada 15 kumpulan cempuling sahaja di Selangor. Diharapkan kumpulan seni ini terus berkembang dalam memastikan muzik ini kekal dan tidak hilang ditelan zaman,” Datuk Borhan Aman Shah ketika dihubungi.

Borhan menambah, dana berkenaan juga akan disalurkan kepada institusi pendidikan bagi memupuk minat dan mencungkil bakat murid sekali gus menjadi mereka sebagai pelapis masa depan.
“Ada sekolah yang aktif tetapi peruntukan tidak cukup. Jadi saya arahkan pejabat pendidikan daerah untuk kenal pasti supaya muzik cempuling dapat dipupuk diperingkat sekolah rendah lagi,” katanya.
Sebelum ini, Amirudin ketika berucap merasmikan Festival Selangor@Batu Laut memaklumkan muzik cempuling yang menjadi seni warisan akan dimartabatkan menerusi peruntukan khas dalam belanjawan negeri 2025.
Pada 9 Jun tahun lalu, Selangor mempromosi seni cempuling ke Indonesia menerusi program Silang Budaya yang membuka peluang masyarakat negara itu mengenali seni dan muzik asli Selangor.
Bertempat di Malaysia Hall Jakarta, persembahan seni cempuling dan muzik asli Selangor dari Kumpulan Tunas Cempuling dan Muzik Asli Sri Kenchana menarik minat peserta dari Indonesia dan mahu mendalami kedua-dua seni budaya itu dengan lebih terperinci.

The post Dana khas rancak usaha martabat cempuling, cungkil bakat generasi muda appeared first on Selangorkini.

