
HULU SELANGOR, 1 MAC: Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-Seed) diteruskan tahun ini melibatkan peruntukan RM1 juta.
EXCO pembasmi kemiskinan berkata agihan dana mengikut daerah itu bermula Jun depan dengan menyasarkan sehingga 250 penerima.

“Permohonan perlu dibuat melalui ketua komuniti India supaya mereka dapat memastikan tiada penerima yang menjual semula barangan bantuan.
“Kita turut perkenalkan katalog digital untuk mudahkan pemohon memilih alatan bersesuaian dengan keperluan berniaga,” kata V Papparaidu hari ini.
Terdahulu beliau menyerahkan bantuan kepada 25 penerima bantuan I-Seed 2024 membabitkan peruntukan berjumlah RM150,000.
Sementara itu penerima M Malathy, 39, berkata sumbangan berupa peralatan salon membolehkannya membuka satu lagi cawangan.

“Hari ini saya dapat kerusi, gunting dan pengering rambut. Bantuan ini membolehkan saya meluaskan operasi niaga sekali gus menambah pendapatan bulanan,” katanya.
Mula dilancar pada 2021, program I-Seed bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kaum India melalui pemberian bantuan peralatan bergantung kepada perniagaan yang diusahakan.
Setakat tahun lalu, seramai 410 usahawan India menerima manfaat I-Seed dengan peruntukan RM2.31 juta.
Antara syarat kelayakan permohonan I-Seed adalah seperti berikut:
- rakyat Selangor atau bermastautin lebih 10 tahun
- individu dan seisi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan
- perniagaan mesti beroperasi di Selangor

The post Dana RM1 juta teruskan program bantuan alatan niaga usahawan India appeared first on Selangorkini.

