Dana RM100,000 bantu pesakit kanser payudara

LocalHealth & Fitness
15 Sep 2026 • 6:08 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dana RM100,000 bantu pesakit kanser payudara

PETALING JAYA – Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA) menyasarkan kutipan dana sebanyak RM100,000 menerusi penganjuran Pink Swing Charity Golf 2026 sempena ulang tahunnya yang ke-40.

Pengurus Besar BCWA, Sumitra Selvaraj berkata, dana itu akan digunakan bagi membiayai pelbagai perkhidmatan sokongan yang disediakan secara percuma kepada pesakit dan keluarga yang terjejas akibat kanser payudara.

Menurutnya, kejohanan tersebut dianjurkan dengan kerjasama Templer Park Country Club selaku rakan penaja utama dan menghimpunkan tokoh korporat, pemimpin perniagaan, golongan profesional serta komuniti penggemar golf.

Katanya, penganjuran itu bukan sahaja membuka ruang untuk membina jaringan, malah menggalakkan masyarakat menyumbang kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu pesakit kanser payudara.

“Sebagai pertubuhan yang bergantung kepada sumbangan orang ramai, kami berharap kerjasama menerusi program seperti ini dapat membantu memastikan operasi BCWA diteruskan.

“Antara perkhidmatan yang disediakan ialah lawatan ke hospital, penyampaian maklumat dan sokongan rakan sebaya kepada pesakit yang baharu didiagnosis.

“Kami juga menyediakan coli pasca mastektomi dan prostesis silikon kepada golongan B40 yang menjalani pembedahan, selain pendidikan kesihatan payudara serta pemeriksaan klinikal oleh jururawat terlatih kepada orang ramai,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Templer Park Country Club bukan sahaja menjadi tuan rumah, malah turut memberi ruang kepada Klinik Bergerak MURNI milik BCWA untuk menyampaikan perkhidmatan kesedaran dan pemeriksaan kepada kakitangannya.

“Pengesanan awal mampu menyelamatkan nyawa. Apabila rakan kerjasama bukan sahaja membawa mesej tersebut, malah mengamalkannya dalam kalangan kakitangan sendiri, ia menunjukkan impak sebenar acara ini yang melangkaui padang golf,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Templer Park Country Club, Datuk Manibalan Kutty berkata, pihaknya akan menyumbang RM1 bagi setiap pusingan golf yang dimainkan sepanjang Oktober kepada BCWA.

The post Dana RM100,000 bantu pesakit kanser payudara appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved